Sabtu, 5 Jun 2021 | 2:50pm
(Gambar fail) Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
(Gambar fail) Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - NSTP/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN

PRU-15: Saring ketat pemilihan calon PKR - Ketua AMK

KUALA LUMPUR: PKR perlu melakukan saringan ketat dalam memilih calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bagi mengelakkan berlaku pengkhianatan terhadap parti, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, mana-mana individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan parti, perlu ditolak sama sekali.

"Sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita diuji dengan kemenangan, ada juga yang kecundang dikaburi kuasa dan harta sehingga lupa jerih perih perjuangan yang dilalui.

"Ujian itu tidak akan pernah terhenti. Kini, kita diuji pula dengan pengkhianatan yang meruntuhkan kerajaan (Pakatan Harapan/PH) melalui 'Langkah Sheraton'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2020 yang berlangsung secara maya, hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, bagi meneruskan kelangsungan perjuangan parti, anak muda yang berpotensi perlu segera diketengahkan, terutama dalam menghadapi PRU-15.

"Ini perlu diambil serius oleh pimpinan parti, terutama bagi mendapatkan kembali kerusi yang dikhianati dan menawan kerusi yang belum dimenangi.

"Justeru, pemilihan calon perlulah lebih ketat. Individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali," katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan sebarang desas-desus menaikkan individu selain daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi calon Perdana Menteri, sebagai hanya bertujuan memecahbelahkan gabungan dalam PH.

Sehubungan itu, katanya, AMK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH) yang memberi sokongan penuh untuk mengangkat Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

"Kerjasama dengan BERSATU memberikan kita 1,001 pengajaran. Tindakan mencurigakan umpama 'sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau' mestilah dijauhkan.

"Bagi menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat, AMK ingin mengusulkan bendera PKR menjadi logo mewakili PH menghadapi PRU yang akan datang," katanya.

Berita Harian X