Rabu, 21 Oktober 2020 | 7:31pm
 Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan

Gencatan politik pastikan agenda rakyat diberi keutamaan

KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO melaksanakan gencatan politik adalah bagi meminimumkan mainan politik kepartian yang tidak disukai rakyat.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan, berkata langkah itu juga secara tidak langsung memastikan agenda menangani cabaran ekonomi dan kesihatan diberi tumpuan sewajarnya.

"Gencatan politik. Bermaksud meminimumkan mainan politik kepartian yang tidak disukai rakyat sebaliknya menumpu kepada agenda rakyat khususnya menangani cabaran ekonomi dan kesihatan.

"Mendukung kerajaan hari ini bermaksud tidak timbul lagi sebarang khabar memaksa pilihan raya umum awal dengan keadaan penularan COVID-19 dan kesan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril Sufian berkata, kenyataan UMNO yang merujuk kepada perkukuh kerjasama antara parti demi kestabilan pula memerlukan keikhlasan dan sebarang rundingan, dilaksanakan oleh mereka yang diberi amanah di belakang tabir.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata kenyataan yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu penting kerana ramai keliru sehingga ada pihak yang dijadikan mangsa perang persepsi.

"Presiden UMNO mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan pendirian rasmi dan terkini.

"Ia penting kerana ramai yang kekeliruan sehingga ada pihak yang cuba dijadikan mangsa perang persepsi semata-mata kerana mereka menjalankan tugas menjayakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Mereka ingin melihat anggota dalam kerajaan bertelagah satu sama lain. Alhamdulillah Presiden membuat penjelasan yang sangat jelas," katanya.

Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan parti itu mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara yang berdepan pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Parti itu turut melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Berita Harian X