Isnin, 22 Jun 2020 | 11:59am

AMANAH, DAP mahu Anwar tunggu 6 bulan untuk jadi PM

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tetapi mahu Presiden PKR itu menunggu sehingga enam bulan bagi memberi laluan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini, kedua-dua parti itu konsisten menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri sejak 1998 dan akan terus berbuat demikian.

Mereka berkata perjalanan politik telah mengambil masa 22 tahun, justeru mereka mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Perjanjian enam bulan ini akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani kesemua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada keputusan PKR yang menolak cadangan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan PH jika pakatan itu berkuasa semula.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersama Ahli Parlimen PKR, yang berlangsung Jumaat lalu.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail NSTP

Pada 30 Mei lalu, Mesyuarat Majlis Presiden PH mengemukakan dua pilihan calon Perdana Menteri jika mereka berkuasa semula iaitu Anwar dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mana ia tidak dipersetujui Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Pilihan kedua, Dr Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, dengan peralihan kuasa kepada Anwar selepas tempoh enam bulan.

AMANAH dan DAP berkata latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan yang realistik untuk berjaya adalah dengan menggabungkan kekuatan semua lima parti iaitu PKR, AMANAH dan DAP daripada PH serta WARISAN dan kelompok penyokong Dr Mahathir dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, walaupun Dr Mahathir, WARISAN dan PKR tidak dapat saling bersetuju, semua parti dalam PH, WARISAN dan kelompok Dr Mahathir mesti mencari titik persamaan untuk menuntut kembali mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mereka menyatakan, AMANAH dan DAP telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak.

"Malangnya, usaha itu belum berjaya. Kami berharap PKR dan Dr Mahathir bersama-sama WARISAN tidak akan semakin menjauh bahkan terus merapat dan bersatu-padu.

Berita Harian X