Isnin, 1 Jun 2020 | 11:25am

Syed Saddiq ditegur usah campuri urusan BERSATU

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) menegur Syed Saddiq Syed Abd Rahman supaya tidak lagi mencampuri urusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berikutan Ahli Parlimen Muar itu bukan lagi sebahagian daripada parti.

EXCO ARMADA Malaysia, Mohd Muzzammil Ismail, berkata ARMADA yang mengecam sidang media dianjurkan Syed Saddiq, semalam, turut kesal dengan tindakan bekas ketua sayap parti itu yang didakwa banyak memutarbelitkan fakta berhubung perlembagaan BERSATU.

Beliau berkata, malah Syed Saddiq juga didakwa sengaja memberi tafsiran berniat jahat apabila mendakwa kepimpinan sayap pemuda parti itu yang kononnya menyokong tindakan dibuat bekas Menteri Belia dan Sukan itu, namun hakikatnya mereka tidak diajak berbincang terlebih dahulu.

"Sekurang-kurangnya 30 individu ada membuat kenyataan penafian terbuka termasuk di laman sosial di mana nama mereka dimasukkan dalam senarai nama kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq sedangkan mereka tidak dirujuk terlebih dahulu.

"Antara yang membuat penafian ialah Ketua ARMADA Bahagian Iskandar Putri, Muhammad Zulfadhli Mohd Sofian; Ketua ARMADA Bahagian Putrajaya, Hariz Faisal dan Ketua ARMADA Bahagian Segambut, Mohd Safwan Manoga, selain ada juga ketua ARMADA bahagian yang tidak sah turut dimasukkan namanya.

"Sebagai ahli parti yang sudah digugurkan keahliannya, ARMADA memberi amaran buat Syed Saddiq supaya tidak lagi mencampuri urusan dalaman parti, " katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dilaporkan sebagai berkata, ARMADA BERSATU sedia merujuk kepada saluran undang-undang berhubung isu pengguguran keahlian lima pemimpinnya.

Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini digugurkan keahliannya bersama empat yang lain, iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah, selain Syed Saddiq sendiri.

Muzzammil berkata, ARMADA akan membuat laporan polis terhadap penyamaran dibuat Syed Saddiq yang sewenang-wenangnya menggunakan nama parti meskipun sudah digugurkan keahliannya.

Beliau berkata, BERSATU ialah milik semua ahli parti dan bukannya kepunyaan mana-mana individu yang berkepentingan dengan prinsip undang-undang perlu dipatuhi kerana tiada sesiapa yang akan dikecualikan.

"Sudah-sudahlah menunggang suara akar umbi untuk tujuan peribadi. Sebaik-baik keputusan dalam berorganisasi adalah berlandaskan keputusan dari suara majoriti," katanya.

Berita Harian X