Jumaat, 15 November 2019 | 6:50pm
Haniza Mohd Talha
Haniza Mohd Talha

Azmin akan rasmi Kongres Tahunan Wanita PKR

SHAH ALAM: Kongres Tahunan Wanita PKR akan dirasmikan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Wanitanya, Haniza Mohd Talha, berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi meneruskan tradisi yang diamalkan sejak pembentukan sayap wanita serta Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Sayap Wanita akan meneruskan konvensyen Kongres Tahunan Wanita tahun ini dengan perasmian dilakukan Timbalan Presiden parti,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lembah Jaya, berkata Setiausaha Agung parti, Saifuddin Nasution memberikan pandangan wajar selaras dengan amalan parti serta kedudukan struktur dalam PKR berhubung perkara itu.

Berikutan isu yang timbul berhubung perasmi kongres dua sayap itu, Saifuddin pada Rabu lalu, menegaskan semua urusan dan perjalanan kongres adalah urusan AMK.

Saifuddin juga menafikan membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin malah pejabatnya atau beliau sendiri tidak mengeluarkan surat jemputan perasmian kepada pemimpin nombor dua parti itu.

Mengulas berkenaan kenyataan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berhubung pimpinan AMK harus merujuk keputusan mesyuarat yang memutuskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk merasmikan kongres sayap itu, Haniza berkata, ia jelas mengundang bantahan dan ketidakpuasan dalam kalangan anggota parti.

Rabu lalu, Berita Harian Online melaporkan 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat AMK membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin bagi merasmikan Kongres Nasional sayap itu di Melaka, 6 Disember depan.

Bantahan itu dinyatakan melalui kenyataan bersama mereka diketuai Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham.

Berita Harian X