Jumaat, 15 November 2019 | 4:16pm
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. - Foto Mohd Yusni Ariffin
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Tak sepatutnya Timbalan Presiden diperlakukan begitu'

KUALA LUMPUR: Veteran PKR menegur kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) kerana melanggar tradisi apabila membatalkan jemputan untuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional sayap parti itu.

Menerusi surat terbuka kepada Ketua AMK, Akmal Nasir; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata tidak sepatutnya orang nombor dua dalam parti diperlakukan seperti itu.

Selaku pemimpin pelapis, beliau berkata, AMK sepatutnya berperanan menjadi tenaga penyatuan dalam parti.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu berkata, menjadi kelaziman atau tradisi dalam PKR dan parti politik lain, Timbalan Presiden dijemput merasmikan mesyuarat agung ataupun kongres.

“Apakah faedahnya melanggar tradisi ini? Bukan semua tradisi itu buruk. Azmin dijemput untuk merasmikan kongres. Jadi kenapa dibatalkan jemputan itu? Ini tidak manis dan tidak patut Timbalan Presiden parti kita sendiri diperlakukan begitu.

“Saya baca majoriti ahli dan kepimpinan AMK Pusat tidak bersetuju keputusan membatalkan jemputan kepada Azmin. Maksudnya mereka mahu tradisi dikekalkan,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta Akmal menjemput semula Azmin untuk merasmikan Kongres Nasional AMK pada 6 Disember depan.

“Saya bukan anggota AMK. Saya sudah tua. Sudah warga emas. Saya anggota biasa PKR. Sudah jadi anggota veteran PKR seumur hidup. Saya sudah bayar yuran jadi anggota PKR seumur hidup.

“Saya hanya seorang anggota Parlimen biasa PKR yang sayangkan parti ini. Saya mahu PKR bersatu. Sudah-sudahlah berpecah-belah. Berjiwa besarlah kita semua,” katanya.

Rabu lalu, seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat AMK membantah keputusan itu dan menyifatkannya sebagai cerminan terhadap keadaan PKR yang hebat dilanda krisis kepimpinan ketika ini.

Berita Harian X