Khamis, 14 November 2019 | 6:55pm
Ketua AMK PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Ketua AMK PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Mohamed Azmin tidak jawab surat jemputan - AMK PKR

KUALA LUMPUR: Kegagalan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab surat jemputan merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyebabkan sayap parti itu memutuskan beliau digantikan dengan Pengerusi Majlis Penasihat parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai perasmi.

Ketua AMK PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pihaknya mengeluarkan surat jemputan pada 11 September lalu dan selepas enam minggu, Mohamed Azmin masih tidak memberikan jawapan kepada jemputan itu.

Justeru, katanya, mesyuarat Majlis Pimpinan AMK pada 20 Oktober lalu memutuskan membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin.

Katanya, pembatalan itu adalah kerana kelemahan Mohamed Azmin sendiri malah, Timbalan Presiden PKR itu gagal menghadiri mesyuarat parti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) atau Biro Politik selama setahun.

“Mohamed Azmin juga sering kali mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan disiplin parti dan semangat Pakatan Harapan (PH) yang jelas menunjukkan beliau ada ‘tangan ghaib’ yang sebenar merosakkan PKR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan Mohamed Azmin wujud ‘tangan ghaib’ di belakang keputusan membatalkan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres Nasional Tahunan AMK.

Mohamed Azmin juga menyifatkan keputusan membatalkan jemputannya sebagai perasmi kongres itu sebagai cubaan menutup mulutnya daripada menegur kepemimpinan parti itu.

Akmal Nasrullah menjelaskan Kongres Nasional Tahunan AMK adalah platform untuk menyuarakan isu semasa demi kepentingan rakyat terutamanya berkaitan anak muda seperti pendidikan, peluang pekerjaan serta kos sara hidup dan bukannya pentas politik membincangkan kelompok pihak yang berkepentingan.

“Jika beliau (Mohamed Azmin) menganggap kekuatan seseorang pemimpin itu adalah wujud dengan memulaukan mesyuarat parti dan tidak mempunyai disiplin organisasi, maka pemimpin itu sebenarnya tidak lagi memiliki ciri-ciri seorang pemimpin PKR.

“AMK akan terus mendokong prinsip kesatuan dan hormat kepada disiplin parti supaya kestabilan dan pengukuhan parti terus dilindungi,” katanya.

Mempertahankan tindakan beliau dan keputusan mesyuarat AMK pada 20 Oktober lalu, katanya, beliau cuba sebaiknya menguruskan isu itu dengan mengekalkan perbincangan secara dalaman dan tidak membabitkan media.

Namun, katanya Mohamed Azmin tidak lagi ada rasa hormat kepada parti dan perjuangan PKR.

Berita Harian X