Khamis, 14 November 2019 | 5:00pm
MOHAMED Azmin Ali menjawab pertanyaan wakil media ketika hadir bagi menyampaikan ucaptama mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sempena ‘ INTAN Ministerial Forum Series 2019 ‘, di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
MOHAMED Azmin Ali menjawab pertanyaan wakil media ketika hadir bagi menyampaikan ucaptama mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sempena ‘ INTAN Ministerial Forum Series 2019 ‘, di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Ini bukan soal saya tapi jawatan - Azmin

KUALA LUMPUR: Pembatalan jemputan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) disifatkan oleh Timbalan Presiden PKR itu sebagai cubaan menutup mulutnya daripada menegur pimpinan parti itu.

Menyifatkannya sebagai amalan tidak sihat, beliau yang juga Menteri Hal-Ehwal Ekonomi turut melihat perkembangan itu sebagai cubaan memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahli parti.

“Semua parti politik memberi peluang timbalan presiden merasmikan (sayap) Pemuda dan Wanita manakala presiden melaksanakan perasmian kongres utama.

“Ini sudah dilakukan beberapa tahun. Ini bukan soal saya, ini soal jawatan presiden dan timbalannya.

“Apakah mereka tidak membenarkan saya bersuara dalam kongres parti. Ini adalah percubaan menutup mulut saya menegur kepemimpinan sedia ada,” katanya ketika ditemui pada Siri Forum Menteri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan PKR membatalkan jemputannya untuk merasmikan Kongres Nasional sayap parti itu di Melaka pada 6 Disember ini.

Semalam, seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat AMK membantah keputusan itu dan menyifatkannya sebagai cerminan terhadap keadaan PKR yang hebat dilanda krisis kepemimpinan ketika ini.

Mohamed Azmin berkata, keadaan semasa tidak baik untuk Pakatan Harapan (PH) kerana ada pihak cuba melemahkan perjuangan dalam parti.

“Memang saya menerima surat jemputan daripada Setiausaha Agung parti (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan AMK serta Wanita (PKR) kerana itu adalah tradisi dan saya menjawab akan hadir.

“Bagaimanapun, baru-baru ini (jemputan) dibatalkan. Saya yakin Ketua AMK (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) tidak berani melakukan sesuatu tanpa tangan ghaib di belakang,” katanya.

Menjawab kenyataan Akmal Nasrullah bahawa jemputan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail merasmikan Kongres Nasional sayap parti itu kerana UMNO pernah berbuat demikian, Mohamed Azmin mempersoalkan kenyataan Ketua AMK itu.

“Dalam konteks ini dia nak ikut UMNO? Bagi saya tidak mengapa. Biar ahli buat pertimbangan atas tindakan yang mereka lakukan,” katanya.

Berita Harian X