Sabtu, 23 Jun 2018 | 11:40am
KETUA UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
KETUA UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Raja Nong Chik beri laluan muka baharu

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Raja Nong Chik berkata, keputusannya itu sebagai perubahan yang perlu dilakukan bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk memimpin UMNO Lembah Pantai.

"Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lagi, saya sudah menyuarakan hasrat jika kalah, saya hanya mahu menjadi ahli biasa dan tidak lagi memegang sebarang jawatan.

"Saya sudah berbincang dengan keluarga dan rakan di bahagian (Lembah Pantai). Ini ada keputusan yang perlu dilakukan demi perubahan yang diperlukan UMNO," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Lembah Pantai di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata UMNO memerlukan perubahan di semua peringkat dengan memberi laluan kepada golongan muda untuk memimpin parti.

"Kita harus memperbetulkan semula persepsi rakyat terutama golongan muda terhadap UMNO dan kita perlu menerima hakikat bahawa parti ini dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi seperti dulu.

"Jangan ada dalam kalangan kita yang sombong dan berlagak kerana itu yang berlaku ketika kita berkuasa dahulu. Rakyat akan jemu dan menjauhkan diri daripada kita," katanya.

Berita Harian X