Ahad, 8 April 2018 | 1:18am
PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamed memotong riben ketika Program Jelajah Pakatan Harapan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
PENGERUSI Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamed memotong riben ketika Program Jelajah Pakatan Harapan di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Pakatan Harapan guna simbol PKR pada PRU14

PASIR GUDANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan keempat-empat parti dalam pakatan itu akan menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pengumuman itu dibuat ketika Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia di sini, malam ini.

Dr Mahathir berkata, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersetuju bagi menggunakan simbol itu bagi PRU-14 nanti.

"Saya dengan segala sukacita ingin maklum kepada tuan-tuan dan puan-puan di seluruh Malaysia dan dunia bahawa dalam PRU14, kami akan guna satu simbol iaitu simbol parti Keadilan.

"Bukan mudah hendak suruh setiap parti yang ada dalam Harapan (PH) menggugurkan simbol mereka. DAP sudah guna simbol roket hampir 60 tahun. Yang lain juga sayang akan simbol masing-masing.

"Oleh kerana ingin bersatu padu, maka setuju empat parti guna satu simbol. Saya amat gembira kerana sesuatu yang tidak mungkin dilakukan dahulu, sudah dilakukan oleh kita semua," katanya.

Dalam majlis sama, PH turut mengumumkan dua manifesto untuk rakyat Johor iaitu 10 janji ditawarkan kepada untuk tempoh lima tahun dan 10 janji lagi bagi tempoh 100 hari selepas diberikan mandat membentuk kerajaan negeri.

Bagi tawaran bagi tempoh lima tahun, 10 janji itu antaranya mengembalikan biasiswa Kerajaan Johor, mewujudkan Universiti Johor, menyediakan 200,000 peluang pekerjaan, membina 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), melaksanakan Skim Sewa-Beli RMMJ, menyediakan tapak sekolah bagi sekolah agama persendirian, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Manakala bagi tawaran untuk tempoh 100 hari, PH menawarkan 10janji antaranya jawatan Menteri Besar bagi tempoh duapenggal maksimum, tender terbuka semua kontrak kerajaan negeri, air percuma kepada golongan B40.

Berita Harian X