Sabtu, 4 March 2017 | 6:45pm

PKR akui perlu masa bincang agihan kerusi

DATUK Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) beramah mesra bersama Wanita PKR selepas merasmikan majlis Latihan Pelancaran Jentera Parti PKR di Yayasan Aman, Penanti, Bukit Mertajam. - Foto Amir Irsyad Omar
DATUK Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) beramah mesra bersama Wanita PKR selepas merasmikan majlis Latihan Pelancaran Jentera Parti PKR di Yayasan Aman, Penanti, Bukit Mertajam. - Foto Amir Irsyad Omar

BUKIT MERTAJAM: PKR mengakui perlu lebih masa bagi membincangkan isu pengagihan kerusi dalam pakatan pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ia susulan sasaran pembangkang yang mahu satu lawan satu bagi setiap kawasan yang ditandingi calon mereka pada PRU-14 akan datang.

"Kita (PKR) ambil kira polisi Pakatan Harapan iaitu satu lawan satu bagi memudahkan parti mengekalkan kemenangan di sesebuah kawasan ditandingi calon kita.

"Selain itu, polisi satu lawan satu pada PRU-14 ini juga akan memudahkan pengundi memilih calon yang akan mewakili kawasan masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Jentera PKR kawasan Penanti di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin dan ADUN Seberang Jaya merangkap EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya bersedia berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran desakan parti itu supaya membincangkan semula pengagihan kerusi dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.

"Kesediaan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor daripada PPBM, termasuk usia penubuhan parti itu yang masih baharu.

"Kita juga sedang membincangkan perkara asas dalam kerjasama semua parti pembangkang, termasuk agihan kerusi," katanya.

Berita Harian X