Sabtu, 28 March 2015 | 3:50pm

DAP tolak Hadi, lambang sikap sombong, bongkak - PAS WP

Mohamad Noor Mohamad
Mohamad Noor Mohamad

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (WP) menyifatkan tindakan DAP untuk menghentikan kerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang susulan isu hudud menggambarkan sikap sombong dan bongkak parti itu.

Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad, berkata tindakan itu juga seumpama 'kacang lupakan kulit' setelah Pakatan Rakyat menang besar pada pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Saya lihat kenyataan pimpinan DAP ini bongkak sombong. Mereka (DAP) kena ingat bahawa kemenangan mereka pada PRU13 itu adalah sebahagian sokongan anggota PAS.

"Maka kalau tidak tarik balik kenyataan itu, jangan terlalu yakin pada PRU akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvensyen PAS WP di sini.

Mohamad Noor turut menyifatkan tindakan DAP itu sebagai biadab dan tidak siuman memandangkan Abdul Hadi merupakan Presiden PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata DAP tidak boleh lagi bekerjasama dengan Abdul Hadi kerana didakwa tidak jujur dan tidak bermaruah.

Ini susulan tindakan Abdul Hadi mengemukakan usul Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat tanpa merujuk perkara itu kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Mohamad Noor meminta DAP memahami dahulu kandungan rang undang-undang itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Berhubung konvensyen yang diadakan hari ini, Mohamad Noor memberitahu PAS WP telah membuat ketetapan menyokong penuh Abdul Hadi sebagai Presiden dan akan memastikan tiada calon lain yang lebih layak menggantikan beliau.

"PAS WP akan pastikan segala usaha menjatuhkan Abdul Hadi tidak akan berjaya dan beliau akan dikekalkan jawatan itu pada Muktamar PAS ke-61 akan datang," katanya.

Di GEORGE TOWN, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta masyarakat bersifat objektif dalam membincangkan rang undang-undang persendirian itu tanpa melibatkan sebarang emosi.

Beliau berkata masyarakat perlu memahami hukum hudud itu secara mendalam termasuk dari sudut falsafah, kesalahan, syariah dan pelaksanaannya sebelum menegakkan pendirian masing-masing tanpa memberi kesan kepada keharmonian negara dan undang-undang.

"Yang paling saya tidak mahu melihat ialah bincang hudud tapi huru hara... saya malu. Saya mahu hudud dibincangkan dengan tenang atas sifat rahmah hudud itu dengan makna jenayah undang-undang syariah dan segala falsafah syariah itu," katanya kepada pemberita.

Mujahid, yang juga anggota Parlimen Parit Buntar turut menggesa pengamal media untuk melaporkan maklumat yang tepat berhubung hukum hudud untuk mengelakkan masyarakat mempunyai tanggapan yang salah terhadap Islam.

"Apa yang lebih membimbangkan saya adalah media sosial, mereka bebas untuk menulis apa-apa sahaja kerana tidak terikat dengan etika. Kadang-kala mereka menulis perkara yang tak betul dan terheret dalam emosi. Saya berharap kita dapat mengawal kebebasan itu," katanya.

Pada 19 Mac lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud, untuk dilaksanakan ke atas orang Islam di negeri itu. - BERNAMA

Berita Harian X