Jumaat, 21 Oktober 2022 | 1:07pm

UPSI anjur festival seni budaya

TANJUNG MALIM: Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Festival Seni dan Budaya 2022 (FesDaya 2022) bermula Selasa ini sehingga 27 Oktober ini.

Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata pelaksanaan program menerusi geran dana Kementerian Pelancongan, Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dapat menggerakkan program seni dan budaya sekali gus menyokong aspirasi kementerian berkenaan.

Katanya, melalui melalui Geran Sokongan Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (GSPSB) yang diluluskan MOTAC yang bertujuan menyemarakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya supaya terus berdaya saing melalui pemberian bantuan insentif kepada pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta penggiat industri.

"Pameran Seni dan Budaya Melayu yang menterjemahkan kebudayaan Melayu sebagai aspek penting peradaban bangsa negara perlu dipertahankan semua pihak selain diwariskan kepada generasi akan datang.

Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali.
Presiden BUDIMAN, Prof Dr Abdul Halim Ali.

"Ia juga dapat melengkapkan sebahagian daripada objektif Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) daripada sudut pengukuhan perpaduan bangsa dan negara di samping memelihara serta memupuk keperibadian kebangsaan berpaksikan sumber seni budaya Melayu," katanya.

Pameran Seni dan Budaya Melayu bakal diadakan di Foyer Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning , Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI bermula 9 pagi hingga 5 petang turut menyaksikan pameran busana, tanjak , lukisan , aktiviti Sepagi Bersama Pelukis dan Persembahan Cikgu Kasmin serta persembahan kebudayaan.

Selain itu, turut diadakan Seminar Antarabangsa Ketiga Literatur Nusantara (SILiN 3.0) dan Diskusi Buku yang membabitkan penyertaan dalam dan luar negara.

Berita Harian X