Rabu, 19 Oktober 2022 | 2:01pm

Sanggup berpisah dengan keluarga seawal 7 tahun demi ilmu

Usia tujuh tahun dianggap masih muda untuk hidup sendiri di asrama sekolah. Namun bagi sesetengah murid itulah realiti yang perlu dihadapi. Banyak faktor menjadi punca, antaranya jarak antara sekolah dan rumah yang sangat jauh yang memakan masa berjam-jam berjalan kaki. Ada pula yang perlu menaiki bot setiap hari untuk ke sekolah dengan kos yang sangat mahal.

Bagi Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sumandi, Semporna, Mohd Termizy England, berbanding sekolah berasrama penuh (SBP), asrama sekolah harian walaupun tidak banyak kemudahan tetapi ia cukup membantu pelajar.

Malah katanya, melihat keazaman murid-murid yang sanggup meninggalkan rumah pada usia muda menjentik hatinya.

"Mereka kebanyakannya berasal dari pulau-pulau kecil sekitar Pulau Sumandi. Jika tidak duduk di asrama, mereka perlu menaiki bot setiap hari ke sekolah dengan kos yang sangat tinggi," katanya.

Mohd Termizy berkata, SK Pulau Sumandi ketika ini mempunyai 180 murid dengan 18 guru menampung pelajar dari pulau-pulau berdekatan. Ia terletak di Pulau Sumandi dengan saiz yang agak besar berbanding pulau lain di sekitarnya.

Bagaimanapun katanya, disebabkan jumlah asrama harian yang disediakan agak terhad, umumnya kemudahan asrama disediakan untuk pelajar berusia sembilan tahun ke atas. Namun ada juga murid yang hanya bertahan seminggu duduk di asrama sebelum pulang ke rumah kerana rindu kepada keluarga. Malah ada juga ibu bapa yang membawa keluar anak mereka dari asrama kerana tidak sanggup berjauhan.

Justeru tegas Mohd Termizy, sangat biasa melihat pelajar tidak menamatkan pengajian sekolah rendah. Malah jika tamat Tahun Enam, ada yang tidak mampu untuk melanjutkan pengajian ke sekolah menengah.

Katanya, berbanding murid SBP yang umumnya sudah bersedia memasuki asrama kebanyakan murid di sekolah asrama harian berhadapan banyak isu lain. Justeru, guru atau warden bertugas perlu memiliki kemahiran untuk memastikan mereka kekal fokus untuk belajar.

"Perkara utama, warden perlu bijak mengurus murid terutama sekali pandai mengambil hati mereka selain bersikap empati kerana kebanyakan pelajar ini berbeza dengan murid bandar.

Asrama sekolah harian walaupun tidak banyak kemudahan tetapi ia cukup membantu pelajar yang duduk jauh dari sekolah. Gambar ihsan SK Pulau Sumandi.
Asrama sekolah harian walaupun tidak banyak kemudahan tetapi ia cukup membantu pelajar yang duduk jauh dari sekolah. Gambar ihsan SK Pulau Sumandi.

"Satu hal yang lebih penting, selain mengambil hati murid guru juga perlu prihatin dan memahami situasi ibu bapa mereka," katanya.

Tegas Mohd Termizy, kebanyakan murid tidak bercita-cita tinggi justeru guru perlu terus memberi motivasi sekurang-kurangnya untuk membolehkan mereka menamatkan pengajian.

Sementara itu, bagi Guru Matematik yang juga warden asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jegan, Baram, Sarawak, Muhammad Alif Khairuddin, memegang tugas sebagai 'ibu bapa' sementara untuk murid asrama bukanlah satu tanggungjawab mudah.

Selain terpaksa 'berkorban' masa jika murid tidak pulang ke rumah pada hari minggu, mengendalikan perasaan 'homesick' penghuni asrama seawal usia tujuh tahun agak mencabar.

"Jika kita yang dewasa ini pun ada masa rindukan ibu bapa, keluarga dan kampung halaman, apatah lagi mereka yang masih kecil untuk berdepan dengan kehidupan di asrama.

"Mendidik jiwa murid asrama supaya kuat juga menjadi cabaran yang perlu saya hadapi kerana mereka memerlukan sokongan moral.

"Jadi, kita sebagai warden perlulah menjadi penyokong yang memberi semangat kepada mereka untuk terus kuat," katanya.

Rumah kedai dan kawasan komersial ataupun tapak tertentu yang sesuai akan dibenarkan untuk dijadikan Pusat Asrama Pekerja Asing. -Foto hiasan NSTP
Rumah kedai dan kawasan komersial ataupun tapak tertentu yang sesuai akan dibenarkan untuk dijadikan Pusat Asrama Pekerja Asing. -Foto hiasan NSTP

Dia yang mengendalikan 44 murid di asrama sekolah itu melihat faktor jarak sekolah dan rumah mendorong kepada ibu bapa murid merelakan anak untuk menjalani kehidupan berdikari.

"Perjalanan antara rumah atau kampung murid dengan sekolah agak jauh. Belum termasuk lagi perjalanan pergi dan balik yang memerlukan penduduk kampung mengharungi hutan dan jalan yang tidak rata.

"Jadi keperluan murid tinggal di asrama sangat besar dan ini juga pengorbanan mereka untuk meraih ilmu biarpun kekangan kemudahan di sekolah pedalaman agak terhad," katanya.

SK Long Jegan ketika ini mempunyai 106 murid dengan seramai 12 tenaga pengajar termasuk kelas pra sekolah dan enam buah kelas.

Pelajar di SK Pulau Sumandi perlu duduk di asrama kerana kos pengangkutan yang tinggi. Gambar Ihsan Sabah Taim
Pelajar di SK Pulau Sumandi perlu duduk di asrama kerana kos pengangkutan yang tinggi. Gambar Ihsan Sabah Taim

Hal yang sama dikongsi Muhammad Ashraf Emran yang bertugas sebagai guru dan warden di SK Titom, Lipis, Pahang. Beliau yang mula menggalas tanggungjawab itu sejak Februari tahun lalu berasal dari Kampung Matang, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Katanya, tugas seorang warden asrama di sekolah pedalaman bukan sahaja perlu menjaga keselamatan murid sebaliknya memastikan mereka menerima hak mendapat pendidikan sama seperti orang lain.

"Faktor utama mereka duduk di asrama kerana jarak antara sekolah dan rumah yang jauh. Ketika pertama kali sampai di kawasan ini dan mengharungi jalan 'off road' untuk sekolah, laluan jalan sangat daif.

"Ada kala saya menggunakan bot merentas sungai untuk ke sekolah. Semua keadaan itu menyebabkan murid perlu duduk di asrama. Tidak mungkin mereka mampu berulang alik seperti murid lain kerana perjalanan yang sangat jauh," katanya.

Muhammad Ashraf bersama sebahagian muridnya di SK Titom. Gambar Ihsan Muhammad Ashraf
Muhammad Ashraf bersama sebahagian muridnya di SK Titom. Gambar Ihsan Muhammad Ashraf

Tegas Muhammad Ashraf, ibu bapa juga tidak ada pilihan dalam hal ini melainkan perlu berpisah dengan anak seawal usia tujuh tahun. Namun itulah cabaran dan usaha untuk memastikan anak mereka mendapat pendidikan.

Katanya, lokasi sekolah yang jauh dari bandar juga menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah bekalan elektrik. Sekolah itu menggunakan solar hibrid, manakala sumber bekalan air datang daripada pancur graviti serta air sungai yang tidak dirawat.

"Di sekolah ini juga kebanyakan muridnya datang dari suku Semai justeru kemampuan mereka berbahasa Melayu agak terbatas.

"Semua mereka bertutur bahasa Semai untuk berkomunikasi dengan guru. Ia adalah sebahagian cabaran yang perlu dihadapi.

"Mereka tentu saja memerlukan masa untuk belajar bahasa Melayu," katanya.

Katanya, beliau juga mengambil inisiatif mempelajari bahasa Semai untuk berkomunikasi malah ia sebenarnya membantu murid menjadi lebih yakin diri sekali gus menjadi lebih mudah mendidik mereka menguasai bahasa Melayu pula.

Berita Harian X