Selasa, 18 Oktober 2022 | 5:05pm
Universiti Teknologi PETRONAS meterai MoU dengan Universiti Kolej Yayasan Sabah tingkat aktiviti akademik, penyelidikan. Gambar fail NSTP
Universiti Teknologi PETRONAS meterai MoU dengan Universiti Kolej Yayasan Sabah tingkat aktiviti akademik, penyelidikan. Gambar fail NSTP

UTP jalin kerjasama dengan UCSF tingkat aktiviti akademik, penyelidikan

IPOH: Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF), hari ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh reputasi akademik dan memantapkan keupayaan penyelidikan kedua-dua institusi itu.

Menurut UTP dalam kenyataan, MoU itu menekankan kerjasama dalam kolaborasi program asas dan mahasiswa; penganjuran bersama seminar, simposium, persidangan dan ceramah awam; usaha sama penyelidikan dan penyeliaan bersama pembelajaran sarjana dan mobiliti pelajar.

UTP diwakili Naib Canselor Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dan Timbalan Naib Canselor Akademik, Prof Dr Hilmi Mukhtar manakala UCSF diwakili Naib Canselor Prof Dr Rafiq Idris dan Setiausaha Syarikat Waky Taim.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTP dan Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong dan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.

Sementara itu, Rafiq berkata, UTP adalah rakan strategik terbaik yang memiliki kepakaran dan pengalaman dalam menghasilkan lulusan terutama bagi sektor minyak dan gas, yang boleh dimanfaatkan oleh UCSF.

Rafiq berkata, kolaborasi dalam aktiviti akademik dan penyelidik memberi faedah kepada kedua-dua pihak dan beliau berharap dalam jangka panjang, lebih ramai rakyat Sabah yang berkelayakan dapat membantu kemajuan industri minyak dan gas, khususnya dalam aktiviti hiliran.

Dalam pada itu, Mohamed Ibrahim berkata, kerjasama dengan UCSF adalah sebahagian usaha berterusan UTP untuk mengembangkan rangkaian hubungan dengan rakan akademik tempatan dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama dalam memacu kecemerlangan pendidikan.

"Kami sentiasa memperluas dan membangunkan rangkaian hubungan kami serta inisiatif kolaborasi dalam merealisasikan aspirasi untuk menjadi institut pengajian tinggi yang dikenali dan diiktiraf pada peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, menerusi MoU itu, pelajar program asas dan diploma UCSF memperoleh laluan untuk melanjutkan pengajian di UTP, iaitu mereka boleh mengikuti program ijazah dalam Pengurusan Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Sistem Maklumat.

"Selain itu, UTP akan turut menyokong UCSF dalam membangunkan asas kurikulum Program Sains institut itu, bagi UCSF melaksanakan program kejuruteraan. Pelajar yang telah selesai pengajian asas di UCSF layak memohon pengajian ijazah di UTP.

"Di UTP, kami melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan bagi berdepan cabaran dan memastikan Malaysia terus mempunyai bakat dan tenaga kerja cekap," katanya.

Mohamed Ibrahim berkata, program akademik universiti itu yang mantap dan relevan dengan industri, fasiliti makmal terkini, program latihan industri pelajar selama tujuh bulan yang berkesan, serta kolaborasi industri dengan rakan-rakan kerjasama terutama dalam sektor minyak dan gas, meletakkan program ijazah kejuruteraan dan sains UTP pada tahap yang lebih tinggi berbanding yang lain.

"Selain itu, menerusi kerjasama ini, kakitangan UCSF akan dibenarkan untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di UTP bagi memajukan diri secara mampan menerusi perkongsian kemahiran dan pengetahuan dengan anggota fakulti UTP," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X