Sabtu, 8 Oktober 2022 | 9:40pm
Shahril (kanan) bersama peserta lima terbaik yang lain, termasuk juara.
Shahril (kanan) bersama peserta lima terbaik yang lain, termasuk juara.

Guru besar antara lima terbaik Malaysia Teacher Prize 2022

KUALA LUMPUR: Guru Kimia Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Tenom, Sabah, Anuthra Sirisena muncul juara Malaysia Teacher Prize 2022.

Kemenangan yang membolehkan beliau meraih RM50,000 itu hasil inovasi di dalam bilik darjah yang menggabungkan teknologi dan permainan, hingga pelajar sekolah berkenaan sering mendapat keputusan terbaik subjek itu.

Selain Anuthra, seorang lagi pemenang lima peserta terbaik yang membawa pulang RM5,000 ialah Guru Besar Sekolah Kebangsan Seri Samudera, Manjung, Shahril Othman.

Shahril menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Shahril menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Beliau satu-satunya peserta dalam kalangan pentadbir sekolah.

Shahril berkata, sumbangan beliau melalui inovasi dan teknik pengajaran yang mudah menarik murid sekolah rendah berminat kepada mata pelajaran Matematik.

Katanya, beliau sudah membantu lebih daripada 50,000 murid seluruh negara menerusi kelas untuk ibu bapa dan guru Matematik.

"Kemenangan ini membuktikan kepimpinan instruksional penting untuk dipraktikkan oleh pemimpin sekolah dan bukan sekadar pentadbir.

"Pengalaman dan pengetahuan yang ada pada setiap pentadbir akan dapat membantu guru-guru menguasai kemahiran instruksional dengan baik.

"Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada semua guru untuk terus berinovasi dan memartabatkan kerjaya keguruan untuk kemejadian murid," katanya.

Malaysia Teacher Prize 2022 dianjurkan bagi menghargai sumbangan besar guru-guru mendapat lebih 800 penyertaan.

Berita Harian X