Rabu, 5 Oktober 2022 | 9:46am
Hajiji (tiga kanan) bersama Mohd Arifin (dua kanan), beramah mesra dengan penerima biasiswa di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu.- Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Hajiji (tiga kanan) bersama Mohd Arifin (dua kanan), beramah mesra dengan penerima biasiswa di pejabat Ketua Menteri di Menara Kinabalu.- Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

10 pelajar terbaik STPM di Sabah terima biasiswa cemerlang

KOTA KINABALU: Seramai 10 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di Sabah terpilih menerima Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) khusus untuk lepasan STPM yang baru diperkenalkan pada tahun ini.

Tawaran kepada semua pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor pada perjumpaan dengan pelajar terbabit di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Selain biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, setiap pelajar turut menerima sumbangan RM3,000 daripada Ketua Menteri.

Hajiji turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar terbabit untuk meneruskan kecemerlangan dalam bidang pengajian yang dipilih mereka apabila melanjutkan pelajaran.

"Saya berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan akademik dan membantu dalam pembangunan negeri setelah selesai pengajian nanti," katanya.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

10 penerima BKNS adalah Azza Nazeerah Norsidi (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maktab Sabah, Kota Kinabalu); Fredelina Franklin Frankey (SMK St Peter, Telipok); Mary Cassandra Christinus (SMK Limbanak, Penampang); Mohd Haqim Roslan (SMK Tamparuli); Feiron Umpil @ Felix (SMK Tambunan); Ummu Zafirah Kaderi (SMK Usukan, Kota Belud); Krestyelah Ubid (SMK Ranau); Farrah Nurainn Fatman (SMK Kota Marudu); Norshafika Mohd Jul (SMK Abdul Rahim, Kudat); dan Chan Khor Yee (Kolej Tingkatan Enam Datuk Pengiran Galpam (A) Sandakan).

Selain Biasiswa Cemerlang untuk pelajar terbaik STPM, kerajaan negeri turut menawarkan beberapa lagi jenis biasiswa iaitu Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama (TYT) sejak 1982, Biasiswa Perdana sejak 1968 dan Biasiswa Program B40 / Luar Bandar sejak 2019 untuk membantu anak golongan B40 dan luar bandar di Sabah.

Berita Harian X