Selasa, 13 September 2022 | 12:45pm
Plagiat boleh dielak dengan mempelajari kaedah yang betul dalam memetik pandangan orang lain untuk dimuatkan dalam tulisan. GAMBAR ARKIB NSTP
Plagiat boleh dielak dengan mempelajari kaedah yang betul dalam memetik pandangan orang lain untuk dimuatkan dalam tulisan. GAMBAR ARKIB NSTP

Banyak tugasan jadi punca mahasiswa plagiat?

Plagiarisme bukanlah isu baharu. Ia selalu terjadi dan diperkatakan tetapi dalam kalangan pelajar universiti plagiat boleh menyebabkan seseorang digagalkan atau digantung pengajian berdasarkan tahap keseriusannya.

Ada kala plagiat bukanlah bermaksud seluruh tulisan sama ada tugasan atau tesis itu diciplak. Sebaliknya ia mungkin seperenggan dua sahaja.

Hari ini sesuai dengan perkembangan teknologi semasa plagiat lebih mudah dibuat, hanya salin dan tampal. Malah sebenarnya dalam sesetengah kes ia bukan sahaja dilakukan oleh pelajar tetapi turut dikesan dalam kalangan pensyarah.

Plagiarisme sebenarnya jenayah akademik yang disifatkan umpama merompak di siang hari oleh Ketua Program Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor.

Khairunneezam berkata, plagiarisme berlaku apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan atau inovasi tertentu. Hasil ciplakan itu pula dipersembahkan sebagai hasil ilmiah dirinya tanpa memberi pengiktirafan atau rujukan sepatutnya kepada pemilik asal.  

"Terdapat tiga bentuk plagiarisme yang biasa diamalkan. Pertama, peniruan secara langsung perkataan, perenggan atau bahan yang diambil daripada terbitan orang lain tanpa usaha sewajarnya dalam mengiktiraf sumber asal bahan ilmiah tersebut.

"Kedua, pengubahsuaian perkataan orang lain tanpa memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Ketiga, menggunakan idea yang secara langsung diambil daripada individu lain tanpa memberikan pengiktirafan kepadanya," katanya.

Khairunneezam berkata, perkembangan teknologi semasa membolehkan pelajar menyiapkan tugasan dengan kaedah salin tampal.

Tegasnya, plagiat pasti saja memberi impak negatif terhadap pembentukan siswazah berkualiti. Justeru bagi kebanyakan universiti awam dan swasta termasuk USIM sudah diwujudkan undang-undang berkenaan plagiarisme selain makluman mengenai kesalahan serta kesan negatifnya.

Katanya, apabila sesuatu tindakan plagiarisme dilaporkan, disiasat dan kemudian disabitkan kesalahannya, tindakan serta merta akan diambil.

"Umumnya pelajar akan ditangani secara diplomasi misalnya diberikan amaran dan diberi peluang memperbaiki kesilapan jika kes mereka tidaklah serius.

"Namun jika sebaliknya, tindakan boleh diambil di bawah Kaedah 6, Kaedah-kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar Tahun 1999) di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605)," katanya.

Tegasnya, terdapat panduan yang betul dalam memetik pandangan orang lain untuk dimuatkan dalam tulisan. Ia umumnya boleh diperoleh dalam buku panduan akademik berserta dengan kaedah penulisan sumber rujukan atau bibliografi yang tepat.

Khairunneezam berkata, hanya dengan cara memberi pengiktirafan terhadap pemilik karya asal, barulah cedukan idea dan frasa tertentu yang dipetik dianggap 'halal' dalam konteks penulisan akademik. 

"Ketika ini juga sudah ada banyak perisian komputer malah aplikasi dalam talian yang boleh mengesan plagiat. Ia digunakan secara meluas dan cukup komprehensif serta berkesan untuk menemukan sebarang unsur plagiarisme," katanya.

Dari segi yang lain Khairunneezam berkata, pensyarah juga perlu tegas mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih tegar membuat tugasan akademik secara plagiat.

Selain itu bagi pelajar, perlulah lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan sebarang penulisan akademik atau tesis.

Pelajar katanya, perlu menyedari penulisan akademik adalah satu usaha universiti untuk mengasah dan menyerlahkan tahap kebolehan akademik mereka sendiri.

"Jadikanlah penulisan akademik sebagai sumber terbaik untuk menyerlahkan daya pemikiran dan keintelektualan.

"Apalah ertinya kepuasan dalam usaha penulisan akademik andai seseorang pelajar itu mendapat keputusan cemerlang dalam penulisan tugasan atau tesis, tetapi ia bukan secara mutlaknya hasil karya asli," katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Dr Nahrizul Adib Kadri, berkata bebanan tugasan yang perlu diselesaikan mahasiswa juga ada kala menyumbang kepada aktiviti plagiat antara sedar atau tidak.

Mengambil contoh bentuk penulisan kertas kerja, untuk satu mata pelajaran sekurang-kurangnya dua tugasan perlu untuk disiapkan, bayangkan jika pelajar mengambil lima subjek pada setiap semester, mereka perlu menyiapkan sebanyak 10 penulisan esei.

"Cabaran yang lebih getir adalah apabila perlu menyiapkan penulisan eseinya dalam bahasa Inggeris.

"Lambakan bahan bacaan di internet juga saya kira menyumbang kepada permasalahan ini. Betul, niat tidak menghalalkan cara.

"Namun kita tidak boleh menidakkan keberadaan bahan bacaan atau penulisan yang begitu mudah disalin di internet itu juga juga faktor meningkatnya fenomena plagiarisme atau sindrom salin tampal ini," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UM itu berkata, amat merugikan jika mahasiswa melakukannya kerana ingin mencari jalan pintas bagi menyiapkan tugasan.

"Perbuatan itu hanya melatih kognitif otak yang segalanya di dunia mempunyai jalan pintas. Lebih buruk apabila seseorang itu merasakan 'usaha' mengambil hak orang lain itu juga adalah miliknya dan tidak perlu berasa bersalah," katanya.

Berita Harian X