Rabu, 14 September 2022 | 6:34pm
UiTM menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 (WSLEC2022) di UiTM Puncak Alam. NSTP/Ihsan UiTM
UiTM menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 (WSLEC2022) di UiTM Puncak Alam. NSTP/Ihsan UiTM

WSLEC usaha perkasa pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 (WSLEC2022) dalam usaha untuk memartabat dan memperkasakan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan.

Program hasil kerjasama dengan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu diadakan di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, bermula semalam dan hari ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata cetusan idea bagi mengadakan konvensyen itu adalah untuk merencanakan hala tuju program pemerkasaan kepemimpinan mahasiswi di seluruh universiti awam (UA), universiti swasta dan politeknik, yang dilihat bersesuaian dengan idea baharu dan situasi mutakhir dalam negara.

"Tiada gunanya kita bercakap mengenai kemajuan dan keberhasilan pimpinan wanita, sekiranya pembabitan serta sumbangan daripada pemimpin wanita masih pada tahap marginal, iaitu masih agak rendah," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu memaklumkan konvensyen yang julung kali diadakan itu mengangkat tema 'Mahasiswi Unggul Aset Negara' bagi memahami aspirasi pemimpin wanita dalam kalangan mahasiswi UA, universiti swasta dan politeknik.

Konvensyen berkenaan memberi pendedahan berkaitan kepentingan pemerkasaan gender dan penyertaan wanita dalam aspek kepemimpinan dalam usaha memartabatkan wanita di persada antarabangsa.

Seramai 450 peserta turut serta secara fizikal, manakala kira-kira 60,000 orang terbabit secara maya dalam konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu.

Peserta terdiri daripada kalangan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej-kolej Kediaman dan Exco-Exco Persatuan daripada seluruh UA, swasta dan politeknik.

Konvesyen diisi dengan perbincangan antara pemimpin pelajar yang dibahagikan kepada enam kluster; Keusahawanan dan Ekonomi, Kesukarelawanan, Patriotisme dan Perundangan, Profesional, Kesejahteraan Sosial, Kesihatan dan Kecantikan.

Ia selari dengan usaha dan komitmen kerajaan untuk mencapai kesaksamaan gender; sejajar dengan Rancangan Malaysia Keduabelas (RMK12), dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Perbincangan itu membabitkan penceramah jemputan khas termasuk Pakar Perlembagaan, Kulliyah Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz; Pengarah Pusat Kesihatan UiTM Dr Zaiton Nasir dan Pengasas Bersama AKRAB Resources, Raja Azura Raja Mahayudin.

Berita Harian X