Rabu, 14 September 2022 | 6:01pm
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak Ke-30di Kuching. NSTP/Nadim Bokhari
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak Ke-30di Kuching. NSTP/Nadim Bokhari

Lima IPT jadi alternatif pelajar lanjutkan pengajian

mdroji@bh.com.my

KUCHING: Pelajar Sarawak yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam selepas permohonan mereka menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) ditolak, masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ia berikutan lima institusi pengajian tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan Sarawak menjadi alternatif dan menawarkan tempat kepada mereka.

Lima IPT terbabit iaitu Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) kini diuruskan Yayasan Sarawak membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian.

"Ini bermakna peluang anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pendidikan kini sentiasa terbuka.

"Dahulu jika berhasrat untuk melanjutkan pendidikan, kita membuat permohonan menerusi UPU, namun ramai yang tidak mendapat tempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak untuk guru dan pelajar cemerlang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, ada juga pelajar yang enggan melanjutkan pengajian apabila jurusan yang ditawarkan menerusi UPU tidak menepati minat mereka.

"Justeru, dengan pemilikan ke atas lima institusi pendidikan itu, pelajar Sarawak tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada UPU untuk melanjutkan pendidikan dan mereka boleh memilih jurusan yang diminati," katanya.

Berita Harian X