Selasa, 30 Ogos 2022 | 2:42pm
Kes buli dipercayai gagal ditangani sepenuhnya kerana keengganan mangsa membuat laporan, sistem sokongan seperti guru, warden dan ibu bapa yang lemah dalam menangani kes. Gambar hiasan
Kes buli dipercayai gagal ditangani sepenuhnya kerana keengganan mangsa membuat laporan, sistem sokongan seperti guru, warden dan ibu bapa yang lemah dalam menangani kes. Gambar hiasan

Ibu bapa perlu lebih berperanan tangani buli

Kes satu

"Saya mula tidak sedap hati apabila anak jadi pendiam dan sering menangis apabila ditanya mengenai kehidupan di asrama. Waktu itu dia sudah sebulan menuntut di Tingkatan Satu di sekolah berasrama penuh.

Saya fikir anak hanya rindukan keluarga jadi tetap hantar dia kembali ke asrama tetapi nyata saya silap. Kemuncaknya saya jumpa nota tulisan tangan dalam bilik tidurnya di rumah kami yang menyebut dia dibuli kumpulan pelajar senior kerana sikapnya yang ringan tulang selain pernah melaporkan perbuatan senior yang suka memarahi murid junior.

Saya lekas menghubungi warden tetapi ditenangkan oleh mereka dengan menyebut semuanya dalam kawalan. Tetapi rupanya anak disindir pula oleh pelajar senior kerana membuat aduan.

Anak juga dipukul teruk di dalam tandas yang menyebabkan saya memasukkannya ke sekolah biasa. Dalam hal ini saya salahkan diri sendiri kerana lambat bertindak,"

Kes dua.

Bagi pelajar Tingkatan Empat di sekolah berasrama penuh di selatan tanah air, Syahmi (bukan nama sebenar) berkata dia selalu dituduh melakukan hal-hal yang tidak pernah dilakukannya. Awalnya dia tidak melayani semua tuduhan itu tetapi tindakan berkenaan menyebabkan pembuli semakin berani seperti menconteng kasut sekolah selain menumbuk mukanya.

Syahmi berkata dia tidak mahu menceritakan kepada ibu bapa mengenai apa yang dialami di asrama kerana enggan mengecewakan mereka yang menaruh harapan tinggi kepadanya. Hal ini menyebabkan dia tertekan dan selalu bergaduh dengan adik beradik setiap kali pulang bercuti.

Kemuncaknya Syahmi dituduh mencuri wang adik salah seorang pembuli selain kononnya didakwa mengurat seorang rakan mereka. Syahmi kemudiannya diseret ke padang sekolah sebelum ditumbuk lima orang pelajar senior dan hampir pitam. Dia diselamatkan oleh pelajar lain yang bertindak memanggil warden. Lima pelajar itu digantung sekolah selepas ibu bapa Syahmi membuat laporan polis.

Isu buli di sekolah bukan hal baharu. Bagaimanapun ia tidak berjaya ditangani sepenuhnya disebabkan pelbagai faktor. Satu daripadanya keengganan mangsa membuat laporan, sistem sokongan seperti guru, warden dan ibu bapa yang lemah dalam menangani kes.

Bagaimanapun, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan portal aduan buli sangat dialu-alukan. Sejak dilancarkan 18 Ogos lalu, ia sudah menerima sebanyak 69 aduan.

Angka ini menunjukkan buli di sekolah terutama di sekolah berasrama adalah hal yang serius dan perlu ditangani sebaiknya.

Kaunselor Berdaftar, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata banyak faktor menyebabkan kes buli di sekolah. Satu daripada sebabnya adalah kegagalan sistem sokongan di sekolah untuk berperanan membanteras hal sebegini.

"Rakan, guru dan warden perlu bekerjasama dan mewujudkan rasa percaya sesama warga sekolah. Bagi murid sekolah berasrama, guru adalah orang pertama kerana ibu bapa mereka jauh.

"Justeru guru perlu menjadi sahabat yang boleh dipercayai supaya mereka tidak rasa tersisih. Namun dari satu segi yang lain, didikan dan ajaran sebenarnya bermula dari rumah. Faktor yang sering kali dibangkitkan adalah kegagalan ibu bapa mendidik anak mengenai tertib dan adab ketika berdepan dengan orang lain," katanya.

Tegas Siti Fatimah, bagi ibu bapa keprihatinan dan hubungan dengan anak-anak membantu dalam pembentukan sahsiah diri mereka. Bak kata peribahasa, 'bapa borek, anak rintik' yang bermaksud didikan ibu bapa membentuk keperibadian anak.

"Anak yang kurang kasih sayang atau perhatian apabila di rumah akan memberikan tekanan kepada orang lain kerana dia tiada tempat mengadu selain kemahuan untuk melepaskan tekanan itu disalurkan dengan membuli pelajar lain," katanya.

Hal ini diburukkan lagi dengan pengaruh televisyen dan media sosial mendorong si pelaku membuli orang lain yang diyakini lebih lemah daripada mereka.

Katanya, pada zaman teknologi serba canggih ini banyak video membabitkan kes buli bertebaran di media sosial yang menimbulkan persoalan sampai bila perbuatan buruk itu akan terus berlaku dalam masyarakat.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rajwani Md Zain, berkata buli memberi kesan kepada mangsa dan pelakunya jika ada 'urusan yang tidak selesai'.

Hal ini tegas Rajwani merangkumi isu misalnya, mangsa buli menyimpan dendam kepada pelaku dan akan cuba membalas pengalaman pahit yang dilalui.

"Jika mereka sebenarnya dibuli atau didera di dalam keluarga, mereka melihat hal itu sebagai isu biasa atau tidak salah untuk dilakukan.

"Isu buli ini memerlukan pemulihan bukan hanya kepada pembuli tetapi juga mangsa. Ini penting bagi memastikan kesan kepada psikologi mereka boleh dipulihkan.

"Sebagai contoh, ada kes membabitkan golongan dewasa yang terbabit dalam salah laku atau jenayah, sekiranya dikaji latar belakang mereka berkemungkinan mempunyai sejarah menjadi pembuli atau mangsa buli," katanya.

Rajwani berkata, perbuatan buli sekiranya dibiarkan berlarutan dan tidak ditangani sebaiknya boleh berubah menjadi kes jenayah misalnya jika akhirnya menyebabkan kecederaan malah kematian.

"Dalam menangani hal buli, murid perlu didedahkan mengenainya sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Ini bagi membolehkan mereka mengenal pasti tingkah laku yang dikaitkan dengan buli sekali gus mengelak diri daripada menjadi mangsa.

"Namun paling utama ibu bapa itu perlulah ada hubungan rapat dengan anak, tahu mengenai perkembangan mereka walaupun anak duduk di asrama," katanya.

Tegas Rajwani, sistem sokongan di sekolah merangkumi warden asrama, guru kaunseling guru disiplin, badan pengawas dan sebagainya perlu lebih prihatin.

"Tidak dinafikan ada juga dalam kalangan warden asrama tidak mempunyai kemahiran khusus bagaimana mendekati atau mengendalikan kes-kes buli.

"Antara cadangan yang perlu dipertimbangkan melantik warden yang berjawatan tetap atau sepenuh masa," katanya.

Berita Harian X