Khamis, 25 Ogos 2022 | 10:43am
Mazni (tengah) melihat pertandingan robot tarik tali yang diadakan sempena per
Mazni (tengah) melihat pertandingan robot tarik tali yang diadakan sempena per

Program STEM tarik minat murid bidang robotik

PEKAN: Pertandingan robot tarik tali antara acara diadakan sempena pertandingan robotik peringkat sekolah rendah daerah ini di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pelak, di sini semalam.

Program sehari itu membabitkan penyertaan kira-kira 90 murid Tahun Lima dan Tahun Enam yang dibahagikan kepada lima kumpulan, dengan setiap murid akan dibantu ibu bapa dan guru.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata pertandingan robotik antara acara yang dipertandingkan sempena program pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) peringkat daerah ini.

Katanya, acara lain yang dipertandingkan ialah reka cipta menyusun bongkah membabitkan 13 pasukan disertai murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga dan rekacipta taman haiwan disertai enam pasukan peserta terdiri daripada murid prasekolah.

"Pertandingan STEM kali ini lebih meriah dengan penyertaan lebih 90 murid Tahun Lima dan Tahun Enam.

"Kerjasama daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan syarikat swasta yang terbabit dalam bidang elektronik melancarkan lagi setiap aktiviti yang diadakan.

"Sempena pertandingan berkenaan turut diadakan pameran elektronik," katanya yang berpuas hati dengan kerjasama diberikan ibu bapa.

Beliau berkata, dengan penganjuran pertandingan STEM diharapkan dapat menarik minat lebih ramai murid terhadap robotik selepas ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pelak, Mazni Mohamed @ Ibrahim, berkata sokongan ibu bapa terhadap pertandingan yang diadakan begitu menggalakkan.

"Lebih 90 ibu bapa terbabit membantu anak mereka menghasilkan robot dan reka cipta susun bongkah, ia turut dibantu 12 guru SK Pelak dan kakitangan UMP.

"Selaku penganjur saya berpuas hati dengan kejayaan pertandingan berkenaan, status sekolah luar bandar bukan penghalang untuk kami mengadakan program berkenaan," katanya.

Berita Harian X