Sabtu, 20 Ogos 2022 | 8:09pm
Sekolah Antarabangsa Regent Malaysia baru-baru ini menyertai rangkaian Global Schools Foundation (GSF)
Sekolah Antarabangsa Regent Malaysia baru-baru ini menyertai rangkaian Global Schools Foundation (GSF)

Sekolah Antarabangsa Regent sertai rangkaian Global Schools Foundation

KUALA LUMPUR: Sekolah Antarabangsa Regent (RIS) Malaysia baru-baru ini telah menyertai rangkaian Global Schools Foundation (GSF), yang mengendalikan rangkaian sekolah antarabangsa yang diiktiraf dan premium di 10 negara, menawarkan yang terbaik dalam pendidikan kepada hampir 31,500 pelajar daripada 70 kewarganegaraan.

RIS bertapak di empat negeri di Malaysia iaitu Selangor, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur sejak 11 tahun lalu. Sebagai anggota terbaharu keluarga GSF, RIS akan dapat menimba pengalaman antarabangsa dan faedah daripada prestasi kukuh sekolah GSF dalam kecemerlangan pendidikan.

Pengasas Bersama dan Pengerusi Global Schools Foundation, Atul Temurnikar, berkata pihaknya teruja untuk mengalu-alukan Sekolah Antarabangsa Regent dalam rangkaian GSF. RIS memiliki sejarah berdekad lamanya dalam menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar di Malaysia.

Sekolah di bawah GSF – yang meraikan ulang tahun ke-20 pada 2022 – menawarkan amalan dan keupayaan pendidikan inovatif terbaik, dengan penekanan terhadap pembelajaran berasaskan kemahiran, menerusi rangkaian kukuh pendidik antarabangsa.

Jenama pendidikan holistiknya menggabungkan pembelajaran inovatif dan peribadi dengan pemikiran global dan kepelbagaian, serta pada masa sama menyeimbangi khazanah tradisi tempatan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelajar GSF mencatat keputusan cemerlang dalam IGCSE dengan lebih daripada 700 pelajar mencapai A* dalam semua mata pelajaran.

Program Diploma Baccalaureate (IB) Antarabangsanya telah menghasilkan 91 pelajar yang meraih markah Terbaik dan Hampir Sempurna Sedunia hingga kini. Pelajar GSF juga banyak menerima tawaran daripada universiti terkemuka di seluruh dunia.

Pada 2021, GSF mengumumkan pembiayaan sejumlah AS$250 juta untuk pelaburan dalam pendidikan K12, menerusi pengumpulan modal masa hadapan. Pada tahun yang sama, ia menyertai perkongsian strategik bersama Dwight School Seoul, Sekolah IB premium terkemuka yang mempunyai hubungan dengan kampusnya di New York, dan bersama Waterbridge Global Education di Kemboja. Ia juga menerima pengiktirafan sebagai "Rangkaian Sekolah Paling Banyak Menerima Anugerah di Dunia" oleh World Book of Records.

Hingga kini, sekolah GSF telah meraih lebih daripada 400 anugerah dalam kecemerlangan pendidikan daripada pertubuhan berkualiti tinggi di dunia termasuk Majlis Produktiviti Malaysia, untuk amalan Inovatif, Kecemerlangan Prestasi, Kecemerlangan Perniagaan, inisiatif Hijau dan Mampan serta aktiviti CSR.

"Regent di bawah naungan GSF akan terus berkembang dan mengetengahkan pendidikan sekolah berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia untuk memupuk mereka menjadi warga global," kata Datuk Dr Nelson Renganathan, pengasas dan bekas pengerusi eksekutif Regent, yang akan terus berkhidmat sebagai Penasihat kepada GSF Malaysia.

Berita Harian X