Sabtu, 20 Ogos 2022 | 3:02pm
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor. - Foto fail NSTP
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor. - Foto fail NSTP

UiTM jalin kerjasama dengan Universiti Ottawa, Kanada

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuhkan hubungan dua hala bersama Universiti Ottawa, Kanada dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU berkenaan dimeterai delegasi UiTM yang diketuai Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor ketika mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Ottawa yang diketuai oleh Presiden Universiti, Jacques Frémont pada 19 Ogos lalu.

UiTM menerusi kenyataan memaklumkan, MoU berkenaan akan menumpukan usaha dalam menyediakan penempatan kakitangan dan pelajar, atau pemindahan program mobiliti.

"Program ini juga termasuk penceramah atau pensyarah jemputan untuk pengajaran kolaboratif, penganjuran bersama pertandingan antarabangsa, penempatan latihan industri antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

"Kerjasama ini bakal menyediakan lebih peluang kepada pelajar bagi memperolehi pengalaman dan pendedahan kepada pelbagai aspek budaya, ekonomi, pendidikan, dan ekologi di negara lain," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sekitar April lalu, UiTM mengukuhkan kedudukannya dengan pengiktirafan tiga bidang mata pelajaran umum dan 14 mata pelajaran dalam QS World University Rankings 2022.

Katanya, Kejuruteraan Kimia dilaporkan sebagai salah satu mata pelajaran dengan pencapaian cemerlang untuk reputasi akademik manakala dua bidang mata pelajaran lain mengekalkan prestasi yang mana Kejuruteraan Petroleum mengekalkan kedudukan mereka pada 101-150 di dunia, manakala Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik mengekalkan kedudukan mereka pada 351-400.

Jelas UiTM, memandangkan universiti itu menunjukkan keputusan yang relevan dalam QS World University Rankings, strategi masa depan untuk mengembangkan kekuatan UiTM sudah diperhalusi.

"Menyedari potensi universiti di Kanada dengan rekod dari QS World University Rankings 2022 yang meletakkan 26 universiti terkemuka dari Kanada, potensi kerjasama dalam pelbagai kursus seperti kejuruteraan, telekomunikasi, sains alam sekitar, muzik dan bahasa yang ditawarkan oleh universiti dan kolej Kanada perlu diterokai.

"UiTM sudah melangkah ke hadapan untuk mewujudkan kerjasama dua hala dengan Universiti Ottawa berdasarkan reputasi cemerlang yang terdapat di institusi tersebut dengan kemudahan terkini dan lebih 1,100 makmal pengajaran dan penyelidikan.

"Kekuatan UiTM dan Universiti Ottawa harus dikongsi dan disebarkan supaya dapat memberi manfaat kepada kakitangan dan pelajar di kedua-dua institusi," katanya.

Berita Harian X