Khamis, 23 Jun 2022 | 7:26pm
Mohd Kamal Azizi dan Teresa Chan. - Foto NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Mohd Kamal Azizi dan Teresa Chan. - Foto NSTP/AMIRUDIN SAHIB

Pentadbir sekolah jaga hubungan dengan ibu bapa

KUALA LUMPUR: Tugas pentadbir sekolah bukan saja menjaga kepentingan murid, tetapi juga memelihara hubungan dengan ibu bapa.

Bekas pengetua, Teresa Chan, 61, berkata seorang pentadbir perlu menjaga keseluruhan sekolah, termasuk berkomunikasi dengan penjaga dan membantu menyelesaikan masalah berkaitan.

"Saya selalu menekankan pendekatan menang-menang, jika ada masalah untuk memastikan semua pihak dapat bermuhasabah diri.

"Saya menjadikan konsep pintu terbuka untuk sesiapa saja datang berjumpa dan mengadu sebarang masalah. Kita akan bertolak ansur," katanya selepas majlis persaraan 84 guru Daerah Petaling Utama, di sini hari ini

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Utama, Mohd Kamal Azizi Abdul Aziz.

Guru yang bersara turut menerima Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM400 seorang.

Sementara itu Mohd Kamal berkata, guru yang sudah bersara boleh terus menyumbang kepada masyarakat sebagai tenaga pakar menerusi ilmunya supaya mereka terus kekal aktif dalam pendidikan.

Beliau berkata, konsep kemenjadian bukan hanya bertumpu kepada murid, tetapi kepada semua peringkat lapisan jawatan di dalam institusi pendidikan itu.

Katanya, sifat toleransi, menyantuni orang lain dan menjadi contoh kepada setiap orang yang disebarkan dapat dijadikan budaya berterusan dalam masyarakat.

"Mereka boleh menjadi penceramah jemputan, pakar dalam bidang masing-masing atau pun berkongsi ilmu kepada mereka yang memerlukan.

"Setidak-tidaknya ilmu yang mereka mengajar selama 35 tahun itu tidak sia-sia, selepas mereka bersara," katanya.

Berita Harian X