Selasa, 19 April 2022 | 11:05am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pastikan kesahihan sekolah tahfiz sebelum hantar anak

Kesedaran ibu bapa terhadap keseimbangan pendidikan dunia dan akhirat menyebabkan ramai daripada mereka menghantar anak-anak menyambung pengajian ke institusi tahfiz sama ada milik swasta, kerajaan pusat atau negeri.

Disebabkan kesedaran itu juga terdapat ibu bapa yang tidak membuat semakan latar belakang institusi tahfiz berkaitan hingga anak mereka terdedah dengan pelbagai masalah. Misalnya ada murid yang disuruh meminta derma di jalanan atau di kedai makan malah sebelum ini berlaku juga kes-kes jenayah membabitkan pengusaha tahfiz.

Hal sebegini secara tidak langsung menjejaskan nama baik institusi tahfiz sedangkan ia adalah sistem pendidikan terawal dalam sejarah pendidikan Islam. Malah dalam Islam, mereka yang menghafaz al-Quran disanjung tinggi dengan gelaran yang mulia.

Apakah langkah yang perlu diambil ibu bapa jika mereka ingin anak melanjutkan pengajian di institusi tahfiz? Pertamanya ibu bapa perlu tahu institusi tahfiz seperti juga sistem persekolahan umum ia dibahagikan kepada pendidikan sekolah rendah dan menengah.

Sekolah rendah - pada peringkat ini selain dididik dengan kurikulum biasa di sekolah aliran perdana, murid akan mula menghafaz al-Quran bermula usia tujuh tahun. Usia itu dilihat masa yang sesuai untuk lebih mencerap didikan yang diberikan. Umumnya pada peringkat sekolah rendah, murid tidak akan tinggal di asrama kerana usia yang terlalu muda dan masih tidak mampu berdikari serta memerlukan perhatian juga kasih sayang ibu bapa.

Sekolah menengah - pada peringkat sekolah menengah, terdapat lima jenis model tahfiz al-Quran yang dilaksanakan di Malaysia iaitu;

Model Tahfiz Sepenuh Masa

Sekolah yang melaksanakan aliran tahfiz sepenuh masa memberikan tumpuan sepenuhnya kepada hafazan al-Quran. Di samping itu terdapat juga ilmu-ilmu lain secara asas yang diajarkan kepada pelajar seperti ilmu tajwid, fardu ain dan sebagainya.

Model Tahfiz Integrasi

Sekolah yang melaksanakan aliran tahfiz integrasi menggabungkan antara hafazan al-Quran dengan pembelajaran akademik secara serentak. Bagi model ini ia dilaksanakan berdasarkan dua keadaan iaitu sekolah tahfiz yang mempunyai kurikulum tahfiz dan akademik seperti mana kurikulum sekolah aliran perdana, manakala sekolah tahfiz tanpa guru akademik bermakna murid perlu belajar kurikulum aliran perdana di sekolah lain atau di pusat tuisyen.

Model Tahfiz dan Agama

Sekolah aliran tahfiz dan agama menggabungkan antara hafazan al-Quran dengan pembelajaran subjek agama. Aliran ini bertujuan melahirkan pelajar yang menguasai hafazan al-Quran dan menguasai ilmu agama.

Model Tahfiz Pondok

Sekolah aliran tahfiz pondok dilaksanakan dengan gabungan antara hafazan al-Quran dengan pembelajaran agama menerusi kitab-kitab pondok. Aliran ini bertujuan melahirkan pelajar yang menghafaz al-Quran dan menguasai kitabkitab pondok.

Model Tahfiz Kemahiran

Sekolah aliran tahfiz kemahiran adalah gabungan antara hafazan al-Quran dengan subjek kemahiran teknikal dan vokasional. Matlamat aliran sekolah ini adalah supaya pelajar-pelajar tahfiz mempunyai kemahiran dalam membina kerjaya.

Jadi bagaimana memilih institusi tahfiz untuk anak?

Berikut dicadangkan beberapa panduan bagi ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka di sekolah tahfiz al-Quran

1) Pendaftaran

Pastikan sekolah tahfiz yang anda pilih itu berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri. Sekolah berdaftar dengan pihak berwajib sudah semestinya memenuhi syarat-syarat penubuhan sekolah, pengurusan yang baik, kurikulum tersusun dan guru berkualiti serta prasarana selamat dan kondusif.

2) Pastikan latar belakang sekolah

Antara aspek penting yang perlu dilihat termasuklah misi dan visi penubuhan sekolah, siapa ahli pentadbiran sekolah, kualiti hafazan pelajar, alumni yang dilahirkan dan tiada rekod buruk menyentuh kes salah laku pelajar atau buli. Selain itu matlamat dan hala tuju pengajian hendaklah jelas supaya masa depan pelajarpelajar dan kebolehpasaran mereka terjamin dan terbuka luas.

3) Kurikulum pengajian yang diiktiraf

Faktor yang paling penting dalam pemilihan sekolah tahfiz adalah ia mempunyai kurikulum pengajian yang diiktiraf. Institusi tahfiz yang terbaik adalah sekolah yang seimbang antara akademik dan tahfiz al-Quran. Walaubagaimanapun sekolah tahfiz sepenuh masa juga adalah pilihan yang terbaik kerana pelajar dapat memfokuskan kepada hafazan al-Quran sematamata.

4) Guru tahfiz yang mahir

Pastikan sekolah mestilah mempunyai barisan guru tahfiz mahir yang mempunyai kelulusan sijil yang diiktiraf. Guru tahfiz seharusnya memiiki kemahiran hafazan al-Quran, penguasaan ilmu agama dan berpengalaman dalam mendidik pelajar. Guru tahfiz juga menampilkan budi pekerti yang mulia, berakhlak terpuji dan menjadi contoh dalam masyarakat.

5) Infrastruktur yang kondusif

Sekolah tahfiz seharusnya mempunyai infrastruktur yang lengkap, kondusif, bersih dan selamat. Infrastruktur yang baik dapat membantu kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran demi keselesaan dan keselamatan pelajar. Kemudahan tempat permainan yang selamat untuk aktiviti riadah juga tidak boleh ditinggalkan kerana ia menggambarkan keseimbangan dalam sistem pendidikan.

Berdasarkan beberapa panduan yang dinyatakan, ibu bapa boleh membuat keputusan yang terbaik dalam menentu hala tuju dan masa depan anak-anak mereka. Usaha mendidik pelajar sehingga menjadi seorang hafiz adalah usaha yang sangat mulia dan mendapat ganjaran yang tinggi daripada Allah SWT.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X