Rabu, 26 Januari 2022 | 11:09am

Ustaz bangunkan inovasi robotik

ALOR STAR: Tugas sebagai guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kedah tidak menghalang Ismail Salleh untuk giat dalam bidang robotik.

Bermula dengan niat untuk mendorong pelajar meminati bidang berkenaan dan membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan mereka, Ismail akhirnya muncul sebagai penerima Anugerah Khas Guru Inovasi Pendidikan Kebangsaan bersempena dengan Anugerah Hari Guru peringkat kebangsaan yang diadakan Disember lalu.

Ismail yang juga Ketua Guru Penasihat Kelab Robotik, berkata beliau sangat terdorong untuk menggalakkan murid untuk terbabit dengan bidang robotik.

"Bidang ini dapat membantu murid berfikir di luar kotak bagi menyelesaikan program pengaturcaraan.

"Selain itu ko-kurikulum robotik ditawarkan bagi sekolah yang menjalankan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi program Tahfiz Model Ulul Albab.

Antara pingat yang diraih Ismail bersama pelajar SMKA Kedah yang membangunkan aplikasi SMART AL-Q sejak 2019.
Antara pingat yang diraih Ismail bersama pelajar SMKA Kedah yang membangunkan aplikasi SMART AL-Q sejak 2019.

"Usaha pendidikan sebegini harus bermula dengan guru kerana saya percaya, cikgu yang cemerlang akan melahirkan pelajar yang cemerlang juga," katanya.

Ismail yang juga Guru Cemerlang Hifz al-Quran berkata, anugerah yang diperolehnya bukan usahanya sendiri sebaliknya kerjasama antara guru dan pelajar.

"Saya bersyukur kerana warga SMKA Kedah sangat berbakat dan kreatif dalam menghasilkan inovasi robotik.

"Idea mereka memang bagus dan mampu melangkah dengan lebih jauh jika diberi peluang oleh pihak berkaitan," katanya.

Mengimbau detik awal terbabit dalam bidang itu, lulusan Ijazah Sarjana Muda Qiraat Al-Azhar Mesir 2008 dan Sarjana Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok 2019, berkata selain mahu membudayakan KBAT kepada pelajar pembabitannya

dalam bidang inovasi juga disebabkan lantikan sekolah sebagai guru robotik. Selain itu ia didorong minat peribadinya sejak kecil.

Dua faktor itu menjadi ramuan cukup baik bagi SMKA Kedah apabila sekolah berkenaan memenangi pingat emas dalam Teaching and Learning Poster Ideas (TALPi 2021) UiTM Perlis 2021 dan Anugerah Perak dalam pertandingan inovasi, International Innovation, Creativity and Technology Exhibition (i2create) 2021.

Ismail berkata, sebelum ini beliau dan pelajarnya turut membangunkan inovasi Mushaf Digital iaitu aplikasi Hafazan Smart al-Quran Memorization (SMART AL-Q) yang berjaya meraih sembilan pingat emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak dibangunkan pada 2019. Inovasi itu berkonsepkan pembelajaran menggunakan pancaindera seperti visual, auditori dan kinestetik.

Berita Harian X