Rabu, 26 Januari 2022 | 10:58am

7 langkah ampuh hadapi peperiksaan SPM

KURANG sebulan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula dengan ujian lisan pada pertengahan Februari seterusnya menduduki peperiksaan bertulis menjelang Mac. Berbanding tahun sebelumnya, calon SPM 2021 berhadapan cabaran besar apabila perlu belajar secara dalam talian sejak Tingkatan Empat dan hanya belajar secara bersemuka dalam tempoh yang terhad.

Ini ditambah pula dengan fakta mereka adalah kumpulan pertama yang akan menggunakan format baharu bagi penyelarasan mata pelajaran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Namun, semua itu tidak seharusnya mematikan semangat dan motivasi diri. Dalam tempoh yang semakin singkat ini, calon perlu memperkuatkan mental dan fizikal untuk memecut selaju dan sekuat mungkin untuk mencipta kejayaan.

Pecutan akhir ini bagaimanapun perlu dibuat dengan tersusun supaya ia tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal. Jadi, apakah langkah terbaik untuk berbuat demikian?

1. Fokus

Tempoh kurang sebulan seharusnya diberi perhatian sebaiknya. Pasakkan dalam minda, anda boleh mencapai kejayaan. Nekad dan percaya anda boleh mencapai kejayaan seiring usaha yang bersungguh-sungguh. Sentiasa berfikiran positif dan berkata pada diri bahawa "aku akan cemerlang!". Semoga dengan percakapan peribadi kepada diri sendiri dapat memastikan minda sentiasa dalam keadaan bersedia dan memiliki keyakinan serta kepercayaan kepada kemampuan diri untuk mencapai matlamat.

2. Ulang kaji

Ini masa untuk mengulang kaji kembali semua yang sudah dipelajari. Dengar atau lihat kembali rakaman audio dan video yang sudah dibuat. Semak buku nota atau tulisan ringkas setiap subjek. Selari dengan peredaran masa, capaian untuk rakaman audio atau visual setiap subjek tidak sukar diperoleh. Selain dikongsi guru atau rakan, di media sosial baik Facebook atau Youtube, terdapat banyak rakaman berkaitan pelajaran yang dikongsi terutama oleh guru dan pakar bidang. Semua ini boleh membantu pelajar untuk mengingat kembali fakta dan isi-isi penting mata pelajaran yang sebelum ini sudah dipelajari.

Malah, pada waktu-waktu terakhir ini mengapa tidak anda mengajak rakan untuk membuat kumpulan sembang khusus untuk mengulang kaji? Berikan tugasan kepada setiap ahli sebelum masing-masing saling berbincang mengenainya. Tanggungjawab yang diberikan kepada ahli untuk membaca mengikut pecahan bab, topik dalam setiap subjek membantu murid untuk lebih faham mata pelajaran.

3. Jadual khusus

Namun begitu, pecutan akhir yang teratur tidak akan sempurna tanpa jadual pembelajaran. Jadual waktu ini adalah panduan bagi memastikan murid tidak tertinggal subjek untuk diulang kaji. Malah persediaan jadual waktu dapat mengelak daripada tersilap memberi keutamaan kepada mata pelajaran yang sepatutnya.

4. Kelas tambahan

Umumnya setiap sekolah menyediakan kelas tambahan sama ada secara dalam talian atau bersemuka bagi membantu murid mengulang kaji pada saat akhir begini. Justeru, pastikan anda tidak ketinggalan. Inilah masanya kita 'mengejar' topik yang tidak kuasai sepenuhnya. Ia juga masa terbaik untuk memperbaiki kesilapan berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan percubaan.

Tempoh ini juga perlu diisi untuk membuatkan latihan bagi membiasakan diri dengan soalan peperiksaan lepas dan koleksi soalan ramalan. Melakukan latihan akan memastikan ingatan dan pemahaman kita terhadap subjek yang sudah dipelajari akan lebih bertahan lama dan sentiasa segar.

5. Pemakanan sihat

Selain itu, bagaimana bersungguh sekalipun kita untuk memastikan pecutan akhir berjaya jangan sesekali lupa pada penjagaan pemakanan yang sihat, waktu rehat dan tidur mencukupi. Kita juga perlu meluangkan masa untuk aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan. Waktu rehat, cukup tidur dan riadah amat mustahak untuk mengekalkan kesihatan emosi dan psikologi. Ini supaya kita mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan SPM tanpa gangguan kesan daripada kesihatan yang terjejas.

6. Ibadat

Persediaan pecutan akhir kita tidak akan sempurna tanpa melakukan amalan kerohanian mengikut pegangan agama masing-masing. Seperti amalan agama Islam kita boleh melakukan solat hajat, berpuasa sunat Isnin dan Khamis serta sentiasa berdoa untuk memastikan kesejahteraan emosi dan psikologi sebelum menghadapi peperiksaan. Amalan kerohanian membantu jiwa lebih kuat dan memastikan diri sentiasa dalam keadaan positif dan bebas daripada tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan mental. Malah jangan malu untuk hubungi kaunselor sekolah jika anda dalam dilema permasalahan.

7. Hubungan dengan keluarga

Tidak terkecuali juga, sebahagian daripada pecutan akhir kita perlu kekalkan hubungan yang harmonis sesama rakan-rakan, guru dan ahli keluarga. Hubungan yang harmonis akan memastikan perasaan kekal ceria dan bahagia. Ia membantu anda menumpukan sepenuhnya diri dan jiwa kepada pembelajaran. Oleh itu, hormati pandangan kawan-kawan, sayangi ahli keluarga dan sanjungi semua guru anda. Semoga dengan doa dan harapan mereka akan memberkati usaha kita dan memudahkan segala ikhtiar yang sedang dilakukan untuk mencipta kecemerlangan.

Kita bermula dengan kejayaan apabila lahir ke dunia ini. Semoga kejayaan akan kekal bersama anda. Jangan gentar dan resah selagi sudah berusaha sedaya-upaya, selebihnya berdoa dan tawakal.

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X