Selasa, 18 Januari 2022 | 11:09am
Guru Besar SK Sawah Raja, Asmi Lamin dan wakil guru, menerima hadiah pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Sembilan, 2020-2021, di Seremban, baru-baru ini. NSTP/Mohd Amin Jalil
Guru Besar SK Sawah Raja, Asmi Lamin dan wakil guru, menerima hadiah pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Sembilan, 2020-2021, di Seremban, baru-baru ini. NSTP/Mohd Amin Jalil

SK Sawah Raja juara pertandingan kitar semula

SEREMBAN: Komitmen guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Raja di sini dalam menjayakan aktiviti kitar semula, ternyata membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan sebagai pemenang pertama Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 2020/2021, baru-baru ini.

Sekolah itu menewaskan 42 peserta lain dalam pertandingan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Sawah Raja, Abd Ghafar Mat Rippin,

berkata pihaknya tidak menyangka memenangi pertandingan berkenaan buat kali kedua berturut-turut selepas 2019, kerana menerima persaingan yang sengit daripada peserta yang lain.

Katanya, penyertaan murid dalam aktiviti kitar semula itu adalah sebahagian usaha untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bagi kebaikan bersama.

Muhammad Aniq Fattah Asrul, 12, menerima watikah pelantikan skuad kitar semula & denggi SK Sawah Raja. NSTP/Mohd Amin Jalil
Muhammad Aniq Fattah Asrul, 12, menerima watikah pelantikan skuad kitar semula & denggi SK Sawah Raja. NSTP/Mohd Amin Jalil

"Melalui aktiviti kitar semula, kita dapat menyemai sikap positif dalam diri murid dalam mengamalkan konsep 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula), malah pertandingan ini juga dapat menilai tahap pembudayaan amalannya di sekolah.

"Kami melihat impak daripada penyertaan dalam pertandingan begini berjaya menjadikan kitar semula sebagai satu amalan di sekolah.

"Melalui gerak gempur PerKISS sejak 2017 yang kami lancarkan ternyata usaha itu membuahkan hasil membanggakan bukan sahaja memenangi pertandingan tetapi yang penting dapat meningkatkan amalan 3R dalam kalangan warga sekolah untuk kelestarian alam," katanya.

Murid SK Sawah Raja mengumpul bahan kitar semula. NSTP/Mohd Amin Jalil
Murid SK Sawah Raja mengumpul bahan kitar semula. NSTP/Mohd Amin Jalil

Beliau berkata, pertandingan itu turut mengambil kira aspek pengumpulan barangan kitar semula, aktiviti kelab yang berkisar mengenai 3R dan penjagaan alam sekitar serta inovasi terhadap barangan kitar semula dalam kalangan warga sekolah.

Katanya, pelbagai program selari dengan konsep 3R dijalankan oleh pihak sekolah seperti kebun sayur, bank kitar semula, hari tanpa plastik, ceramah kesedaran 3R, pusat baja kompos, pertandingan pengumpulan bahan kitar semula tertinggi dan pertandingan reka cipta bahan kitar semula antara kelas.

"Kami juga turut mempunyai skuad 3R melalui Kelab Pencinta Alam SK Sawah Raja iaitu Skuad Kitar Semula & Denggi yang diwujudkan bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, kitar semula dan kemasyarakatan, yang dibimbing guru," katanya.

Dalam pertandingan itu, tempat kedua kategori sekolah rendah dimenangi SK Undang dan ketiga SK Pilin, manakala bagi kategori Sekolah Menengah Kebangsaan dimenangi SMK Dato Sedia Raja, naib johan SMK Pedas dan SMA Rembau di tempat ketiga.

Setiap pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM900 dan RM800.

Berita Harian X