Selasa, 21 Disember 2021 | 10:38am
Ahli kumpulan M3, melihat aplikasi M3 melalui tab selepas membuat kemas kini. Aplikasi M3 yang boleh dimuat turun dari Google Playstore.- Foto Abnor Hamizam Abd Manap/BH
Ahli kumpulan M3, melihat aplikasi M3 melalui tab selepas membuat kemas kini. Aplikasi M3 yang boleh dimuat turun dari Google Playstore.- Foto Abnor Hamizam Abd Manap/BH

11 pelajar cipta aplikasi belajar Matematik

Jelebu: Sekumpulan 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Undang Musa Al-Haj ( SMK Duma) berjaya menghasilkan aplikasi M3 ( mind, map and math ) yang berupaya membantu murid lemah Matematik.

Lebih membanggakan aplikasi itu membolehkan SMK Duma muncul juara kategori dalam talian Pertandingan Inovasi Pembangunan Aplikasi Mobil Apps peringkat kebangsaan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.

Ketua kumpulan itu, Siti Nur Zumaiah Mohd Salimi, 17, berkata aplikasi M3 adalah medium pembelajaran Matematik bagi pelajar Tingkatan Satu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

"Aplikasi ini dilengkapi dengan video penerangan berkaitan setiap sub topik seperti dalam buku teks.

" Ia turut menyediakan soalan pengukuhan pemahaman bagi setiap topik yang dipelajari melalui medium Quizizz dan Google Form.

"Nilai tambah yang terkandung dalam aplikasi ini adalah permainan santai iaitu jaringan kata (word search) yang membabitkan istilah-istilah bagi setiap bab," katanya.

Tambah Siti Nur Zumaiah, aplikasi itu berupaya membantu pelajar mengingat formula atau kaedah Matematik dengan cara lebih mudah.

Katanya, kekurangan bahan rujukan bagi subjek Matematik Tingkatan Satu KSSM antara dorongan terkuat untuk menghasilkan aplikasi berkenaan.

Aplikasi M3 antaranya menekankan suasana pembelajaran digital, ringkas, padat dan mesra pengguna selain menggunakan kaedah peta minda sebagai unsur teras aplikasi.

Sementara itu guru penasihat Mohd Faizal Mohd Derus, berkata aplikasi berkenaan mula dibangunkan Jun lalu dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. Ia menggunakan Google Playstore sebagai tapak aplikasi.

"Pelbagai cabaran dilalui bagi menyiapkan aplikasi berkenaan berikutan kesemua murid bukan pakar dalam bidang ini namun berkat usaha dan kerjasama mereka yang pakar, aplikasi ini berjaya disiapkan," katanya.

Selain Siti Nur Zumaiah, kumpulan itu turut disertai Ju Esen,17; Puteri Alia Sofea Zulkifli,17; Syaza Syahirah Adznan,17; Nurul Hazirah Zainal Abidin,15; Putri Nur Aleeya Natasya Amizi,15; Syahira Natasya Shahnon Nizal,15; Nurshuhaina Abdullah Shuhaimi,15; Khadijah Mohd Faizal, 13 dan Nur Amalia Batrisyia Khamalarifin,13.

Berita Harian X