Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:39am
(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
(Gambar fail) Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

UniSZA perintis tawar kursus Kor SUAR - SPRM

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Kor SUAR kepada pelajarnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata cadangan menawarkan kursus berkredit kadet SPRM di institusi pengajian tinggi (IPT) itu adalah idea berani yang dikemukakan oleh pihak UniSZA kepada SPRM.

"Penawaran kursus itu telah melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah pada peringkat IPT. Sebelum ini, wujud kelab bersifat kesukarelawanan untuk pelajar, iaitu Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus.

"Kini, diwujudkan pula kelab beruniform yang menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan mahasiswa, dan UniSZA menjadi universiti perintis di Malaysia yang pertama menawarkan kursus itu kepada pelajar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penubuhan Kor SUAR adalah antara bidang kerjasama memorandum persefahaman (MoU) dimeterai UniSZA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi), Prof Dr Fadzli Adam, dan Pendaftar, Ismail Musa mewakili universiti itu, manakala SPRM diwakili Azam serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Datuk Razim Mohd Noor.

Azam berkata, mahasiswa mendaftar untuk mengikuti kursus itu diharap berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan hingga hari pentauliahan kelak.

"Mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga semester empat akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah.

"Ini juga adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing mendapatkan pekerjaan nanti," katanya.

Berita Harian X