Selasa, 20 Julai 2021 | 8:38am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Mahir banyak bahasa kuasai dunia

Pengalaman mempelajari bahasa asing sungguh menyeronokkan terutamanya bagi mereka yang berjaya menguasai empat kemahiran berbahasa iaitu membaca, mendengar, menulis dan bertutur. Satu kepuasan kerana berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok penutur bahasa itu, bukan sekadar memahami apa yang ditutur dan ditulis tetapi dapat menyelami budaya dan adat sesuatu

bangsa. Bayangkanlah jika anda berjaya menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, malah mampu juga menguasai bahasa

Arab, Mandarin dan Sepanyol. Bukankah seolah-olah sudah menguasai lebih separuh dunia?

Bahasa itu ialah sistem tanda bunyi digunakan untuk menyampaikan isi hati, pemikiran, idea dan pelbagai mesej sebagai medium komunikasi antara manusia. Bahasa asing berbeza dengan bahasa kedua, ia disebut asing kerana tidak diguna oleh individu atau negara. Di Malaysia bahasa Inggeris ialah bahasa kedua manakala, bahasa Sepanyol, Rusia atau Turki contohnya ialah bahasa asing kerana tidak pernah digunakan.

Tips menguasai bahasa asing.

Mempelajari bahasa asing sama seperti seperti mempelajari bahasa ibunda dari sudut empat kemahiran cuma pendekatan pedagoginya ada perbezaan. Antara lima tip utama untuk menguasai kemahiran ini ialah:

1. Azam - Setiap yang ingin mempelajari bahasa asing mesti menetapkan azam dan mempunyai visi yang jelas, ke tahap mana yang mahu dikuasai dan dalam tempoh berapa lama. Azam seperti hangat-hangat tahi ayam tidak akan menjadi, semangat pada permulaan kemudian lentur di pengakhiran seolah sudah menjadi asam garam antara kita apabila mempelajari bahasa asing. Akhirnya jadilah pelajar yang hanya menguasai berapa perkataan sahaja seperti shukran, afwan atau ogenki desu ka dan arigatou gozai-masu, itu sahaja. Kalau mahu berjaya mesti berazam sesungguhnya, contohnya pelajar bahasa Turki mesti berimaginasi untuk pergi dan tinggal beberapa bulan di negara Turki dan menguasai bahasanya dari sekarang, barulah bahasa itu boleh terpahat lekat dalam diri dan memahirkan psikomotor anggota lidah dan mulut.

2. Catat dan guna aplikasi bahasa -

Mencari aplikasi bahasa yang boleh membantu membuat kosa kata dan membuat ujian kendiri yang berterusan. Aplikasi dalam talian sekarang semakin banyak dan bersistematik malah boleh dimuat turun ke telefon bimbit dengan mudah bahkan boleh didapati secara percuma untuk peringkat asas. Antara contoh aplikasi yang terkenal dan boleh dimanfaatkan ialah duolingo.com dan busuu.com. Aplikasi ini menyediakan lebih daripada lapan bahasa dan penutur boleh memilih bahasa yang ingin dipelajari secara mendalam. Ada pelbagai teknik dan peringkat untuk mempelajari dan menguasai bahasa baharu. Melalui aplikasi ini penutur baharu perlu mencatat perbendaharaan yang dikuasai secara sistematik sebagai panduan.

3. Bertuturlah - Carilah penutur asli untuk berkomunikasi dan melatih diri menggunakan bahasa yang baharu dipelajari. Dalam suasana norma baharu di mana seluruh dunia banyak berkomunikasi dalam talian memudahkan lagi pelajar untuk mendapatkan sahabat atau guru penutur asli menerusi laman sosial. Mereka boleh menjadi rakan berkomunikasi secara tulisan atau perbualan harian atau menawarkan khidmat tutor untuk mengajar-rumus

4. Bacaan - Penutur baharu juga perlu banyak membaca untuk menguasai bahasa. Hal ini kerana melalui pembacaan akan meluaskan lagi kosa kata dan pelajar dapat mengetahui lenggok bahasa untuk digunakan terutamanya dalam penulisan. Membaca buku kanak-kanak versi terjemahan juga memudahkan pemahaman pelajar dan membiasakan diri dengan ayat di dalam bahasa yang baharu. Contohnya membaca buku yang sudah diketahui jalan ceritanya seperti 'Rapunzel' atau 'Aladdin' yang diterjemah ke pelbagai bahasa. Begitu juga bacaan dalam e-buku yang begitu mudah didapati dan menawarkan pilihan yang rencam dan menarik untuk penutur bahasa baharu kerana kaedah penulisannya lebih santai dan mempunyai banyak imej yang membantu pemahaman.

5. Dengar - Pembelajaran bahasa asing juga menuntut penutur baharu untuk banyak mendengar supaya dapat berinteraksi dengan baik. Mendengar penutur asli bertutur paling baik dapat diikuti melalui saluran telekomunikasi seperti televisyen dan radio. Menonton filem dalam bahasa yang ingin dipelajari juga membantu pelajar menghayati budaya bahasa baharu. Filem boleh didapati dengan mudah sekarang melalui dalam talian melalui YouTube dan sebagainya. Begitu juga mendengar melalui audio siar (podcast) mengikut bahasa sasaran juga dapat membantu membiasakan penutur baharu memahami sesuatu isu atau cerita yang disampaikan melalui sari kata terjemahan.

6. Tulis dan terbit - Penutur baharu perlu berlatih untuk menulis dan melakukan latihan bertulis. Buku latihan yang berada di pasaran atau dalam talian boleh dimanfaatkan untuk mengasah kemahiran ini. Selain daripada itu ia boleh juga dilakukan dengan berlatih menulis jurnal sendiri dan memeriksanya dengan guru, tutor atau orang yang mahir dan membetulkan kesalahan yang dilakukan. Untuk mendapatkan kepuasan, jurnal sendiri yang ditulis dalam bahasa baharu ini boleh diterbitkan dalam Facebook, Instagram atau lain-lain media sosial selain menerbitkannya dalam bentuk e-buku untuk dikongsikan. Tidak perlu gusar dengan kesalahan kerana seperti kata pebilangan Arab, banyak bahasa banyak faedahnya.

Berita Harian X