Selasa, 6 Julai 2021 | 10:37am
Membaca adalah proses berterusan yang perlu dimulakan sedari kecil. - Foto hiasan/Adzlan Sidek
Membaca adalah proses berterusan yang perlu dimulakan sedari kecil. - Foto hiasan/Adzlan Sidek

Asah kemahiran membaca anak sejak usia 3 bulan

RAMAI ibu bapa beranggapan kemahiran membaca itu bermula dari saat mereka mendaftarkan anak ke sekolah. Pandangan begini sebenarnya salah kerana ia sebenarnya bermula seawal mungkin dan bermula di rumah.

Membaca adalah proses berterusan yang perlu dimulakan sedari kecil. Dalam konteks ini, proses membacakan buku untuk anak atau membaca bersama-sama mereka adalah satu kaedah global yang terbukti dapat memangkin minat membaca atau literasi awal.

Hal ini lebih membimbangkan susulan penularan COVID-19 yang dijangka menjejaskan keupayaan kemahiran awal membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid. Menyahut saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu merealisasikan pembangunan lestari; pendidikan berkualiti, setiap ibu bapa sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menggalasnya.

Seawal usia tiga bulan hingga setahun, anak boleh diperkenalkan dengan buku yang diperbuat daripada fabrik lembut (disebut sebagai softbooks atau clothbooks) dengan warna terang dan mempunyai banyak ilustrasi. Pemilihan jenis buku ini berubah apabila anak memasuki usia dua tahun dan seterusnya.

Kajian mengenai keberkesanan membaca sudah dimulakan sejak lebih 30 tahun lalu di seluruh dunia. Walaupun proses ini dilihat remeh tetapi ia memberi kesan positif kepada anak. Misalnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, sebenarnya peluang keemasan untuk ibu bapa meluangkan masa membaca bersama anak.

Pemilihan buku yang betul dan kaedah penyampaian ibu bapa tentu saja memberi reaksi yang positif kepada kanak-kanak. Kepelbagaian nada dan intonasi suara dalam membacakan buku kepada anak, sentiasa mengekalkan hubungan mata (eye-contact) ketika berkomunikasi atau bertanyakan soalan, serta sentiasa bersedia untuk menjawab atau pertanyaan sepanjang sesi itu mampu merangsang keterlibatan anak ketika proses itu berlangsung.

Bagaimana ibu bapa dapat membantu kemahiran pembacaan anak?

1. Sediakan kemudahan di rumah dan peluang untuk mereka mengakses buku yang berkualiti. Bagi murid sekolah rendah, menghabiskan sebuah buku dalam masa sehari bukanlah matlamat kita, tetapi lebih kepada perbincangan kandungan dan pendapat terhadap sesebuah buku itu.

2. Peruntukkan masa 10-15 minit sehari untuk masa membaca bersama-sama anak - didik diri untuk membaca kerana ibu bapa adalah suri teladan anak.

3. Jika meneliti sesuatu isu, galakkan anak mencari maklumat yang terdapat dalam buku - ini dapat merangsang pemikiran kritis mereka dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan kemahiran pencarian maklumat.

4. Rancang aktiviti keluarga yang membabitkan buku dan memberi ganjaran kecil kepada anak atas pencapaian mereka - ini dapat memupuk motivasi anak dalam mencintai buku.

Tips pemilihan buku untuk anak

Usia lima hingga lapan tahun

1. Pada tahap ini kanak-kanak masih cuba untuk memahami perkara yang bersifat abstrak. Mereka perlu melihat buku-buku yang bersifat fizikal dan bergambar (bukan komik)

2. Pelbagaikan jenis buku untuk anak ada. - fiksyen dan buku fiksyen bersesuaian dengan minat anak.

3. Beri peluang anak untuk memilih bahan bacaan mereka. - anda hanya perlu membimbing dan menyokong mereka.

Usia sembilan hingga 12 tahun

1. Kenali minat atau tema yang digemari oleh anak anda - pada tahap ini, anak-anak sudah boleh berfikir secara abstrak. Buku-buku mengenai sebab akibat seperti eksperimen sains mudah dan buku fiksyen boleh menyokong minat mereka.

2. Buku dengan lebih banyak perkataan dan kurangkan gambar misalnya cerita pendek.

3. Komik, majalah atau bahan bacaan ringan namun perlu bimbingan ibu bapa supaya tidak terbawa-bawa dalam penulisan di sekolah.

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial Kolej Universiti Selatan, Skudai

Berita Harian X