Isnin, 15 Februari 2021 | 5:42pm

Sebahagian pelajar UTHM akan kembali ke kampus

JOHOR: UTHM benar pelajar kembali ke kampus mengikut kategori berkeperluan

Oleh Essa Abu Yamin

am@hmetro.com.my

bhnews@bh.com.my

Foto Tiada

BATU PAHAT: Semua pelajar Semester II Sesi 2020/2021 Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) yang dibenarkan kembali ke kampus mulai 20 hingga 25 Mac depan akan mendapat surat pemberitahuan daripada pihak fakulti masing-masing.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, semua pelajar berkeperluan disediakan dan perlu menginap di kolej kediaman sepanjang semester yang disediakan oleh pihak universiti.

"Antara kategori pelajar yang dibenarkan berkenaan adalah pelajar peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas yang telah dikenal pasti oleh fakulti.

"Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan pembelajaran dan pengajian (PdP) dalam talian dan pelajar Diploma sedia ada di kampus boleh meneruskan pengajian secara hybrid," katanya.

Katanya, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, kecuali dari United Kingdom dan pelajar berkeperluan khas Orang Kurang Upaya (OKU) serta pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan profesional turut dibenarkan kembali ke kampus.

"Bagi pelajar yang tidak termasuk kategori berkeperluan akan terus mengikuti PdP secara dalam talian di kediaman masing-masing dan tidak perlu kembali ke kampus.

"Pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) tidak dibenarkan kembali ke kampus dan hanya boleh mengemukakan permohonan kembali ke kampus selepas kategori kawasan kediaman bertukar menjadi PKP, PKPB atau PKPP," katanya.

Tambahnya, sekiranya pelajar dalam kategori peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas memilih untuk tidak kembali ke kampus, mereka perlu membuat keputusan sama ada untuk menggugurkan kursus atau menangguhkan pengajian bagi semester terkini.

Katanya, tindakan berkenaan adalah selaras dengan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi bertarikh 31 Januari lalu dan pihak UTHM telah membuat ketetapan berikut berhubung kemasukan pelajar ke kampus pada Semester II Sesi 2020/2021

"Pemakluman berkenaan adalah tertakluk kepada perubahan dari masa ke semasa mengikut Pekeliling atau Arahan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Berita Harian X