Isnin, 15 Februari 2021 | 3:39pm

Tiada calon SPM di Negeri Sembilan dirawat

SEREMBAN: Tiada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Negeri Sembilan yang dijangkiti COVID-19 atau dikuarantin kerana menjadi kontak rapat.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin, berkata kira-kira 17,000 calon SPM akan menduduki peperiksaan itu, Isnin ini.

Katanya, persiapan berjalan lancar bagi memastikan calon mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di luar dan dalam dewan.

Beliau berkata, taklimat mengenai persiapan itu diadakan hari ini bagi memastikan ibu bapa atau penjaga memberikan kerjasama memaklumkan tahap kesihatan calon, bagi mengelak ganguan kepada calon lain berada dalam dewan peperikaan.

"Walaupun terdapat empat sekolah menengah di Seremban, Jelebu, Kuala Pilah dan Rembau disanitasi baru-baru ini, keadaan pelajar di lokasi terbabit bebas daripada jangkitan COVID-19.

"Kita nasihatkan mereka terus menjaga keadaan kesihatan masing-masing menjelang peperiksaan berkenaan supaya tidak menjejaskan mereka untuk berada dalam bilik peperiksaan," katanya.

Md Fiah (kanan) menyampaikan surat penempatan guru baharu kepada guru Al-Ikhlas Isahak, 24, (dua dari kiri) secara pandu lalu, di Seremban, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Md Fiah (kanan) menyampaikan surat penempatan guru baharu kepada guru Al-Ikhlas Isahak, 24, (dua dari kiri) secara pandu lalu, di Seremban, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan surat perlantikan dan amanat pengarah kepada guru baharu sekolah rendah dan menengah 2021 secara pandu lalu, di Sekolah Kebangsaan Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Seramai 91 guru baharu menerima surat pelantikan itu secara pandu lalu.

Mengenai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di negeri itu, Md Fiah berkata, ada pelajar di kawasan tertentu terutama di pedalaman menghadapi masalah kerana liputan internet yang kurang baik.

"Memang ada kalangan murid dan pelajar yang terpaksa mengikuti PdPR di luar rumah termasuk pergi di kawasan berbukit bagi mendapatkan liputan internet sekali gus memberikan cabaran kepada mereka dan setiap guru.

"Guru-guru perlu melaksanakan PdPR ini mengikut kesesuaian di tempat masing-masing untuk memastikan tiada murid atau pelajar yang tercicir," katanya.

Md Fiah (kiri) menyampaikan surat penempatan guru baharu secara pandu lalu di SK Bandar Sri Sendayan, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Md Fiah (kiri) menyampaikan surat penempatan guru baharu secara pandu lalu di SK Bandar Sri Sendayan, hari ini. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X