Sabtu, 6 Februari 2021 | 1:17pm
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Mohd Rosli Hainin. - Foto UMP
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Mohd Rosli Hainin. - Foto UMP

UMP sedia terima kemasukan pelajar mulai 6 Mac

KUANTAN: Enam kategori pelajar berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) secara fizikal mengikut jadual ditetapkan untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan secara efektif.

Sehubungan itu, UMP bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus mulai 6 Mac ini, bagi mengikuti pengajian semester II sesi 2020/2021.

Bagi pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri masing-masing sebelum hadir ke kampus pada 20 dan 21 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Prof Dr Mohd Rosli Hainin, berkata keputusan itu selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Katanya, UMP menyediakan pelan tindakan bagi kemasukan pelajar ke kampus dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam tempoh negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

"Persediaan merangkumi keselamatan warga kampus, saringan kesihatan, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara norma baharu dan pada masa sama PdP secara dalam talian masih diteruskan," katanya.

"UMP juga mengenal pasti pelajar kelainan upaya, tiada akses internet dan tidak mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian untuk kembali ke kampus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosli berkata, UMP berterima kasih kepada KPT yang memberikan panduan dan membenarkan IPT untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan di IPT masing-masing.

"Selain itu, pelajar dinasihat sentiasa mematuhi peraturan kembali ke kampus.

"Bagi pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan).

"Namun, sebarang perubahan tertakluk kepada ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X