Khamis, 2 Mei 2019 | 12:10pm
Dr Sheikh Muszaphar menyampaikan Wacana Ilmu Kembara Ke Angkasa sambil disaksikan Abdul Halim (empat dari kiri) pada program DSS 2019 di UPNM, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi.
Dr Sheikh Muszaphar menyampaikan Wacana Ilmu Kembara Ke Angkasa sambil disaksikan Abdul Halim (empat dari kiri) pada program DSS 2019 di UPNM, baru-baru ini. - Foto Saifullizan Tamadi.

DSS platform serlah idea kreatif, inovatif

KUALA LUMPUR: Program pameran Defence, Security and Sustainability (DSS) 2019 ialah platform terbaik bagi penyelidik membentang dan mempamerkan hasil penyelidikan masing-masing membabitkan bidang pertahanan serta keselamatan.

Pameran anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu berkaitan penyelidikan dan pembangunan, di samping membina jaringan kerjasama, berkongsi maklumat penyelidikan di antara penyelidik luar, universiti awam serta swasta.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal, berkata program itu bermatlamat memberi pendedahan dan galakan terutama kepada penyelidik muda dalam mencetuskan pelbagai idea baharu yang lebih kreatif serta inovatif.

“DSS juga dapat memberi kesedaran kepada peserta terbabit mengenai kepentingan untuk melindungi harta intelek penyelidikan mereka seperti paten dan hak cipta.

“Penganjuran acara ini mampu menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan penyelidik dan secara tidak langsung dapat mewujudkan jaringan kerjasama antara penyelidik dari pelbagai institusi demi membentuk kolaborasi penyelidikan serta inovasi,” katanya ketika berucap pada program DSS 2019 di UPNM, di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik serta Antarabangsa), Prof Emeritus Datuk Dr Tengku Mohd Tengku Sembok; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Brig Jeneral Prof Ir Dr Norazman Mohamad Nor; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat), Prof Datuk Dr Jesbil Singh dan Komandan Akademi Latihan Ketenteraan, Brig Jeneral Datuk Shaharuddin Mansor.

DSS 2019 kali ini turut mengundang Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selaku penceramah jemputan yang turut menyampaikan wacana ilmu bertajuk Kembara Ke Angkasa.

Pada sidang media, Abdul Halim berkata, UPNM memainkan peranan penting bagi usaha melengkapkan Kertas Putih Pertahanan termasuk menyediakan tiga pensyarah pakar dalam bidang pertahanan serta keselamatan.

“Pembabitan UPNM dalam Kertas Putih Pertahanan ini adalah dari segi bagaimana konsep pertahanan ini boleh dilestarikan melalui bantuan pihak industri berkaitan,” katanya.

Pameran bertemakan Inovasi dan penciptaan untuk pertahanan menyeluruh itu ialah acara dwitahunan anjuran UPNM membabitkan 170 penyertaan daripada pelbagai organisasi serta jabatan.

Antaranya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan institusi pengajian tinggi (IPT) awam serta swasta.

Berita Harian X