Selasa, 14 Ogos 2018 | 8:04pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (tengah) beramah mesra bersama Penerima Nobel, Pengasas Grameen dan Yunus, Prof Muhammad Yunus (kiri) turut bersama Naib Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib (kanan) selepas Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi ( ESTCON2018 ) anjuran Universiti Teknologi Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - FotoMohd Yusni Ariffin

Separuh dana R&D 2019 untuk penyelidikan eksperimen

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan memastikan separuh daripada dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperuntukkan untuk pelaksanaan penyelidikan eksperimen bermula tahun depan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, perkara itu penting bagi memastikan dana yang diperuntukkan bagi R&D digunakan dengan sebaiknya.

“Dalam konteks Malaysia, R&D buat masa ini terlalu menumpukan terhadap penyelidikan akademik tetapi hasil penyelidikan itu tidak diguna sepenuhnya bagi tujuan berkaitan industri.

“Malah tahun lalu, 70.5 peratus dana R&D yang diperuntukkan terlalu tertumpu terhadap penyelidikan gunaan berbanding 8.6 peratus untuk penyelidikan eksperimen.

“Sebab itu bermula tahun depan, kementerian akan memastikan separuh dana yang diperuntukkan untuk R&D akan tumpu terhadap penyelidikan eksperimen membabitkan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Kongres Teknologi, Sains dan Kejuruteraan Dunia (ESTCON) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abd Mutalib.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata Singapura memperuntukkan 48.3 peratus Bajet R&D negara itu untuk penyelidikan eksperimen dan 32.1 peratus bagi penyelidikan gunaan.

“Jepun sebagai sebuah negara maju turut memperuntukkan 63.7 peratus bajet R&D negaranya untuk penyelidikan eksperimen dan hanya 19.9 peratus bagi penyelidikan gunaan,” katanya.

Berita Harian X