KUALA LUMPUR: Masjid Negara menjadi tumpuan buat warga kota untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan ini, sambil mengimarahkan masjid.
Tinjauan mendapati kira-kira 1,000 warga kota hadir ke masjid berkenaan yang turut menyediakan juadah berbuka secara percuma.
Ada di antara mereka hadir kerana tidak sempat pulang ke rumah dan menjadikan Masjid Negara sebagai lokasi untuk bertarawih.
Pekerja swasta, Muhammad Fikri Mohd Razali, berkata dia yang berkerja di kawasan berhampiran masjid, menjadikan masjid itu untuk berbuka puasa.
"Kalau berbuka di masjid, senang untuk solat, daripada menghabiskan masa tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, lebih baik berbuka puasa di sini.
"Lokasi juga tidak jauh dari pejabat, selain dapat mengimarahkan masjid, pengunjung juga disediakan juadah percuma," katanya ketika ditemui, hari ini.
Masjid Negara hari ini menyediakan menu nasi putih bersama daging masak lemak cili api dan ulam-ulaman.
Sementara itu, bagi Siti Khadijah Ibrahim, yang tinggal di Ampang, sanggup ke Masjid Negara demi mengimarahkan masjid berkenaan.
"Ini adalah tahun kedua saya berbuka puasa di masjid ini, keadaan sekitar yang tenang sesuai untuk melakukan ibadah dan solat terawih selepas berbuka puasa," katanya.