Rabu, 22 March 2023 | 8:22pm

Ada kesan darah Baby Syifaa pada kain buai

SEREMBAN: Kain buaian di mana Baby Syifaa ditemui maut di pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, di sini, sudah dibasuh pemilik dan pengasuh di premis itu, Nadzirah Ahmad Damanhuri, selepas kejadian pada 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, dalam inkues kes kematian bayi itu atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri yang masuk hari keenam hari ini, Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa masih terdapat penemuan kesan darah pada kain berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Kimia di Bahagian DNA Forensik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Hamizai Abdul Hamid, 39, hasil keputusan makmal yang mendapati asid deoksiribonukleik (DNA) pada kesan darah itu sepadan profil DNA bayi terbabit.

"Kesan tompokan darah itu 'smear' sangat kecil dianggarkan berdiameter lima milimeter (mm) di bahagian kepala kain buaian.

"Bagi ekshibit (barang kes) lain iaitu pakaian mangsa dan permaidani (diambil dari taska) tidak menunjukkan kehadiran kesan darah," katanya.

Nurul Hamizai yang juga saksi ke-22 berkata, beliau hanya mengetahui kain buian itu sudah dibasuh sebelum dihantar ke makmal ketika memberi keterangan, hari ini.

Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Zahida Zakaria adakah DNA boleh termusnah atau menyusut sekiranya dibasuh, Nurul Hamizai berkata, ia bergantung tahap basuhan sama ada kesan darah itu masih dapat dikesan atau tidak.

Dalam pada itu, Nurul Hamizai memberitahu, terdapat penemuan kromosom XY sekurang-kurangnya tiga individu yang tidak mempunyai kaitan kekeluargaan pada pakaian Nour Rania Asyifaa yang diperoleh daripada keputusan DNA surih.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan siapa pemilik DNA itu, tetapi bersetuju terdapat kromosom lelaki.

Pada prosiding bersambung jam 2.30 petang, Nadzirah yang juga sakis ke-21 memberitahu dia membasuh kain buaian itu kira-kira jam 6 kerana ia adalah rutin, malah tidak mengetahui ia punca kejadian.

Dia turut tidak bersetuju cadangan Peguam mewakili keluarga Bay Syifaa, Gaithri Thomas yang mendakwa tindakannya membasuh buaian terbabit kerana mahu menghilangkan kesan darah padanya.

Peguam Hafiz Norkhan turut menyoal sama ada Nadzirah nampak kesan darah pada kain buaian itu ketika membasuhnya.

"Saya tak nampak apa-apa kesan darah kerana saya rabun dan tidak memakai cermin mata pada waktu itu," katanya.

Ketika ditanya Hafiz mengenai cara membasuh kain buai, Nadzirah berkata dia meletakkannya di lantai bilik air sebelum meletakkan sabun dan menyiramnya dengan air sebelum membilasnya sehingga hilang buih.

Nadzirah juga memberitahu, polis yang datang ke taska berkenaan untuk membuat siasatan pada hari kejadian tidak bertanyakan mengenai kain buaian itu yang didapati basah kerana dibasuh.

Nurul Hamizai pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Baby Syifaa. - NSTP/ AZRUL EDHAM
Nurul Hamizai pada prosiding inkues menyiasat punca kematian Baby Syifaa. - NSTP/ AZRUL EDHAM
Berita Harian X