Jumaat, 24 Februari 2023 | 8:50pm

Belanjawan 2023: Kaedah estet mini antara jalan keluar kemiskinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka inisiatif membabitkan kerjasama industri dan syarikat besar dalam menubuhkan estet mini bagi pekebun kecil bagi membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan golongan itu.

Melalui Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan berhubung aspek iltizam kerajaan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat tersusah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata melalui inisiaitif itu, pekebun kecil boleh memperoleh pelbagai pendapatan melalui gaji dan sewaan, selain berperanan sebagai pemegang saham dalam sesuatu projek mini estet terbabit.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi yakin pekebun kecil mampu dikeluarkan dari kemiskinan tegar melalui usaha terbabit.

"Kalau berdasarkan jawapan saya dalam Parlimen, bukan melihat dalam konteks subsidi sahaja kerana kita tak mampu keluarkan pekebun kecil dari konteks kemiskinan melalui subsidi.

"Sebaliknya apa yang kita nak rangkakan ialah membabitkan industri besar, di mana kita dapat kelompokkan mereka, mungkin jadi estet mini.

"Ia akan diuruskan syarikat besar dan mereka (pekebun kecil) boleh jadi pemegang saham, serta mendapat pelbagai pendapatan dari gaji, juga sewaan," katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023, menekankan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di mana kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh.

Atas dasar itu, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan.

Sejumlah RM750 juta disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

Sementara itu bagi konteks Sabah dan Sarawak, Fadillah berkata, penambahbaikan ketersambungan khususnya di kawasan sempadan di dua negeri itu, amat penting bagi limpahan manfaat antara Malaysia dan Indonesia.

"Hubungan antara penduduk, perniagaan dan dua negara hanya boleh diperkuatkan jika kita ada jalinan dan logistik lebih baik," katanya.

Melalui Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi perancangan membangunkan bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Beliau berkata, projek di Sabah dan Sarawak juga akan disegerakan dengan peruntukan khas lebih RM20 bilion yang diberikan dalam belanjawan tahun ini.

"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan projek yang tertangguh terutamanya projek Lebuh Raya Pan Borneo.

"Saya diarahkan secara spesifik untuk melihat projek lebuh raya berkenaan dan memastikan ia dapat disiapkan segera," katanya.

Berita Harian X