KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin parti itu akan menerima jawapan positif daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti, bulan depan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut yakin jawapan daripada ROS akan diperoleh lebih awal berbanding tempoh 60 hari yang diperuntukkan oleh jabatan itu memberi maklum balas kepada UMNO.
Katanya, UMNO sudah mematuhi semua peruntukan dalam perlembagaan parti dan peraturan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sebelum meluluskan usul tambahan berkenaan.
"Saya yakin peraturan persidangan UMNO dan Perlembagaan UMNO telah diikuti sepenuhnya oleh pengerusi tetap, khususnya klausa 9.3 dan 9.4 dalam perlembagaan parti, yang telah dijelaskan kepada RoS.
"Oleh kerana PAU adalah badan tertinggi kepada UMNO, maka keputusan dibuat, termasuk menambah usul yang dibentangkan pencadang ucapan dasar, telah diteliti oleh RoS, kumpulan peguam kami dan setiausaha agung parti.
"Saya yakin sebelum tempoh 60 hari, UMNO akan perolehi jawapan yang positif daripada RoS," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Pada 31 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bersama tiga individu menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad di Putrajaya bagi memberi penjelasan berhubung usul tambahan yang diluluskan di PAU 2022.
Khamis lalu, Ahmad Zahid memaklumkan, RoS memberi tempoh 60 hari kepada UMNO untuk mengemukakan penjelasan dan segala maklumat berkait aduan mengenai usul tambahan dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan.
Tempoh 60 hari itu bermula 20 Januari, iaitu tarikh dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan diluluskan semasa PAU 2022 pada 14 Januari berkait usul jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Mac ini.
Aduan kepada RoS dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan berkenaan.
Majoriti perwakilan PAU 2022 yang hadir pada perhimpunan itu sebelum ini menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun dilaporkan berkata, mana-mana ahli yang mempunyai kepentingan terhadap parti boleh merujuk kepada RoS sekiranya ingin mengetahui sama ada keputusan yang dibuat perwakilan sah atau tidak.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditanya mengenai perkembangan pemilihan UMNO yang mula membuka pencalonan Isnin lalu, memaklumkan ibu pejabat parti sudah mula menerima pencalonan bagi pertandingan jawatan di peringkat sayap dan nasional.
"Saya mengambil pendekatan jawatan yang dipertandingkan itu terbuka seluas-luasnya untuk disertai yang berminat. Saya harap garis panduan kempen yang telah dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad hendaklah diikuti sepenuhnya," katanya.