PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesan sebanyak 830 sekolah di seluruh negara yang mempunyai blok bangunan berskala 6 dan 7 iaitu memerlukan keutamaan pembangunan semula bangunan daif, setakat 31 Januari lalu.
Melalui kenyataan media pagi ini, KPM berkata berikutan itu, ia memberi keutamaan pelaksanaan projek penggantian di sekolah terbabit.
Difahamkan, kebanyakan sekolah berkenaan berada di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu, KPM mengenal pasti bangunan daif berkenaan melalui analisis skor gred impak untuk keutamaan pelaksanaan projek.
"Bilangan bangunan daif ini adalah dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal.
"Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan 7," katanya.
Penilaian berkenaan membabitkan Skala 1 hingga 7.
Sekolah yang berskala 1 hingga 5 membabitkan fungsi dan keadaan bangunan di sekolah berdasarkan kepada persepsi pengguna dengan kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan mengikut keperluan manakala Skala 6 dan 7 membabitkan keutamaan untuk pembangunan semula bangunan daif di sekolah yang disenaraikan.
Pada masa sama, KPM turut merujuk kepada laporan media berhubung kenyataan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim mengenai keseriusan kerajaan dalam menangani isu sekolah daif.
Katanya, KPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dengan keprihatinan beliau dalam isu berkenaan.
KPM berkata, pengumuman Perdana Menteri itu mengenai tumpuan terhadap usaha segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia adakan antara tujuh aspirasi Kementerian itu, dalam mengutamakan isu berkenaan di seluruh negara.
"KPM komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah di seluruh negara," katanya.
Sabtu lalu, media melaporkan, Kerajaan kini menumpukan usaha untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pendekatan kerajaan pimpinannya ialah memastikan semua sekolah bawah tanggungjawab kerajaan, akan diperbaiki mulai Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan pada 24 Februari ini.
Pada Disember 2021, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, dilaporkan berkata sebanyak 1,311 sekolah di seluruh negara mempunyai bangunan daif.
Daripada jumlah itu, 73 sekolah ada bangunan daif pada skala 7 yang disahkan tidak selamat digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala sebanyak 1,238 sekolah lagi mempunyai bangunan daif pada skala 6, iaitu disahkan tidak selamat oleh pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Radzi dilaporkan berkata, ia dijangka membabitkan kos sebanyak RM15.077 bilion bagi menaik taraf dan membangun semula bangunan daif di semua sekolah berkenaan, dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan agensi pusat dan kedudukan kewangan semasa kerajaan.