KUALA SELANGOR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan dijemput menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan juga akan dijemput menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan dalam mesyuarat pertama Sekreteriat, kelmarin.
"Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu membabitkan parti yang mengasaskan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
"Parti yang lain tentunya dibawa dalam jawatankuasa yang sudah ditubuhkan," katanya kepada media selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ditanya kenyataan parti MUDA yang menyuarakan rasa terkilan kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato' Onn.
Dilaporkan Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menjelaskan tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau email.
"Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya. Tidak ada surat, mesej, emel yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media," katanya menjawab satu perkongsian dari ciapan pengguna akaun di Twitter.
Kelmarin, berlangsung mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Anwar yang turut dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Namun, kelibat pemimpin utama atau wakil dari MUDA tidak kelihatan.