Rabu, 8 Februari 2023 | 10:01am
Malaysia perlu meneliti langkah membenarkan visa ketibaan kepada semua negara. - Foto hiasan
Malaysia perlu meneliti langkah membenarkan visa ketibaan kepada semua negara. - Foto hiasan

Malaysia perlu perluas visa ketibaan kepada semua negara - King Sing

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneliti langkah membenarkan visa ketibaan kepada semua negara, supaya kekal kompetitif dalam pasaran pelancongan global, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Memandangkan industri pelancongan negara masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik COVID-19, katanya, Malaysia perlu sensitif kepada trend pasaran dan membenarkan inisiatif pembukaan semula sepenuhnya itu dengan secepat mungkin.

Beliau percaya pihak berkuasa Malaysia mampu menangani lonjakan bilangan penumpang serta mengekalkan ketenteraman di pintu masuk seluruh negara, dan tidak lagi menggunakan isu keselamatan sebagai alasan untuk menghalang ketibaan pelancong.

(Gambar fail) Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

"Ia memberi imej salah mengenai negara dan sistem kita apabila tidak bersedia untuk menyambut ketibaan semula pelancong secara besar-besaran ke Malaysia.

"Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk segera meneliti langkah memperluas visa ketibaan kepada semua negara, terutama China dan India, bagi mengelak kita kehilangan daya saing di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan mengenai ucaptama beliau pada Forum Pelancongan ASEAN 2023.

Seterusnya, King Sing berkata, perubahan dalam dasar dan mekanisme Imigresen ketika ini hendaklah dilakukan secara serentak dengan adaptasi serta penyesuaian pada produk dan perkhidmatan pelancongan tempatan berdasarkan realiti baharu pasaran.

Promosi bersama pelbagai destinasi pada harga pakej pelancongan tunggal yang beliau percaya mampu merangsang daya tarikan industri pelancongan di rantau ini secara keseluruhan, telah dibincangkan pada mesyuarat dua hala dengan Menteri Pelancongan Indonesia dan Menteri Negara Singapura. – BERNAMA

Berita Harian X