KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual 'kembali' ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn malam ini selepas kira-kira 25 tahun tidak menjejakkan kakinya di sana.
Perdana Menteri dijadual hadir ke bangunan itu kira-kira jam 8.30 malam bagi mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Mesyuarat malam ini juga akan dihadiri pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut dijangka hadir, pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta WARISAN.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu, Ahmad Zahid memaklumkan mengenai penubuhan sekretariat itu, yang ditubuhkan bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, dengan pejabat urusannya bertempat di Menara Dato' Onn.
Timbalan Perdana Menteri itu juga memaklumkan, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat berkenaan.
Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang kini terdiri daripada 148 Ahli Parlimen sekali gus menguasai dua pertiga majoriti.
Anwar dipecat dari UMNO pada 3 September 1998 dan sejak itu, Menara Dato' Onn adalah tempat asing baginya untuk dikunjungi.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam majlis hari ini menjelaskan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini antaranya membincangkan mengenai pelaksanaan manifesto atau akujanji parti gabungan membentuk kerajaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perbincangan itu akan menjurus kepada mencari titik persamaan agenda rakyat dalam manifesto parti gabungan.
"Kita mungkin membincangkan beberapa agenda bagi memperkukuhkan kerajaan, bukan sahaja politik malah agenda merakyatkan berdasar manifesto atau akujanji mana-mana parti.
"Perkara ini penting supaya kita dapat mencari titik persamaan bagi pelaksanaannya oleh pihak kerajaan," katanya selepas menghadiri taklimat di ibu pejabat RISDA hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, mesyuarat terbabit dapat menjadi platform menyatupadukan semua 148 Ahli Parlimen kerajaan dalam memperkasakan kerajaan.
"Kita mahu melihat semua 148 Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan, dapat mewujudkan penyatuan terutama untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Ini kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11), itulah kali terakhir mana-mana kerajaan ada suara majoriti dua pertiga," katanya.