DIYARBAKIR (TURKIYE): Gempa bumi dilaporkan terkuat dalam tempoh hampir satu abad yang melanda Turkiye dan Syria, hari ini, meragut lebih 1,200 nyawa serta meranapkan banyak bangunan, malah gegarannya turut dirasai hingga sejauh Iraq.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu juga memusnahkan juga keseluruhan bahagian bandar-bandar utama yang dihuni jutaan penduduk.
Presiden Recep Tayyip Erdogan, berkata sekurang-kurang 912 disahkan terkorban di Turkiye, setakat ini.
Ketua Pusat Gempa Bumi Nasional Syria, Raed Ahmed, memberitahu radio prokerajaan bahawa 'ia adalah gempa bumi terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pusat itu.'
Media melaporkan sekurang-kurang 326 maut dan 1,042 lagi cedera di kawasan terletak bawah kawalan kerajaan Syria, termasuk bandar Aleppo, Hama, Latakia serta Tartus, berdasarkan perangkaan terkini.
Di bahagian yang dikuasai kumpulan pemberontak di barat laut Syria pula, sekurang-kurang 147 mangsa terkorban dan lebih 340 cedera, menurut anggota penyelamat.
Rakaman disiarkan televisyen menunjukkan penduduk Turkiye yang kelihatan terkejut dan trauma dengan insiden itu, berdiri dalam salji menyaksikan anggota SAR bertungkus lumus melakukan kerja-kerja menyelamat.
"Tujuh ahli keluarga saya tertimbus di bawah runtuhan membabitkan kakak saya bersama tiga anak, suami serta kedua-dua ibu dan bapa mentuanya," kata seorang mangsa yang terselamat di Diyarbakir, Muhittin Orakci, kepada AFP.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat diteruskan di beberapa bandar utama. Namun, usaha itu berdepan cabaran cuaca buruk musim sejuk dengan ribut salji yang melitupi jalan-jalan utama.
Pegawai memaklumkan, tiga lapangan terbang utama di kawasan terbabit tidak dapat beroperasi, secara langsung merumitkan lagi usaha penghantaran bantuan penting.
Gempa bumi itu melanda pada jam 4.17 pagi waktu tempatan pada kedalaman sekitar 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep yang dihuni kira-kira dua juta penduduk di Turkiye, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat. - AFP