Ahad, 5 Februari 2023 | 3:56pm
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa

Pesakit 'mengamuk' di Pusat Jantung Hospital Serdang.....ini reaksi KKM

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui berlaku sedikit salah faham yang menyebabkan seorang pesakit 'mengamuk' apabaila perlu menunggu lama untuk bertemu doktor di Pusat Jantung Hospital Serdang semalam.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu yang turut tular menerusi media sosial, selain membuat permohonan maaf.

Beliau berkata, kehadiran pesakit yang ramai juga menyebabkan waktu menunggu yang panjang.

"Saya difahamkan ada salah faham, kakitangan iaitu Penolong Pegawai Perubatan sedang menggunakan telefon untuk menguruskan temu janji pesakit.

"Kehadiran kes yang ramai menyebabkan waktu menunggu yang panjang. Kes yang terbabit (tular semalam) juga adalah ulangan janji temu.

"Pemeriksaan untuk pesakit jantung yang harus dilakukan dengan lebih teliti juga mengambil masa rawatan yang lebih panjang bagi setiap seorang pesakit," katanya kepada BH hari ini.

Dr Zaliha berkata, KKM memohon maaf terhadap kejadian yang berlaku dan pengurusan hospital sedang meneliti perkara itu untuk melaksanakan penambahbaikan.

"Saya juga berharap agar orang ramai juga ada rasa empati terhadap petugas kesihatan yang bekerja keras tanpa henti untuk membantu dan memberi yang terbaik," katanya.

Semalam tular satu video di Pusat Jantung Hospital Serdang yang baharu beberapa bulan beroperasi apabila seorang pesakit tidak berpuas hati apabila mendakwa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan.

Pesakit lelaki berkenaan kelihatan menjerit dan memarahi petugas kesihatan ketika berada di ruang menunggu Klinik Kardiologi hospital terbabit.

Difahamkan, Pusat Jantung Hospital Serdang mula beroperasi pada 12 Disember tahun lalu dengan objektif utamanya mengurangkan separuh masa menunggu bagi rawatan jantung.

Pusat jantung yang dilengkapi peralatan terkini itu akan mengurangkan separuh masa menunggu rawatan angiogram dari 18 bulan kepada sembilan bulan untuk kes elektif yang stabil, manakala kes kecemasan tetap diberikan rawatan serta-merta.

Pusat jantung membabitkan kos RM546 juta itu dibina dengan satu blok kardiologi lapan tingkat yang mampu menempatkan 262 katil, serta satu blok tempat letak kereta sembilan tingkat yang memiliki 536 petak parkir.

Berita Harian X