KUALA NERUS: Pelaksanaan Menu Rahmah ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan juga kakitangan.
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Fadzli Adam, berkata UniSZA sudahpun menyediakan menu tengah hari pada harga berpatutan untuk pelajar.
Katanya, Menu Rahmah di dalam kampus akan membantu pelajar dan kakitangan menikmati pelbagai menu serendah RM5.
Beliau berkata, universiti itu juga akan menambah baik menu sedia ada selaras dengan Menu Rahmah.
"Menu Rahmah memang menjadi agenda kita bagi membantu pelajar dan kakitangan menikmati hidangan juadah tengah hari dengan harga berpatutan.
"Inisiatif ini juga dapat membantu pelajar dan kakitangan UniSZA yang kebanyakan terbeban dengan kenaikan harga barang," katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 akan diperluas ke IPT tidak lama lagi.
Beliau berkata, perkara itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.