Ahad, 5 Februari 2023 | 3:03pm

Lebih 2 juta rai Thaipusam di Batu Caves

KUALA LUMPUR: Lebih dua juta penganut Hindu dan pelawat, mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, bagi meraikan sambutan Thaipusam sejak dua minggu lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, yang ditemui BH di lokasi berkata, sejak 15 Januari sehingga tengah malam tadi, lebih dua juta pengunjung direkodkan mengunjungi kuil di Batu Caves, dengan jumlah pengunjung semakin meningkat bermula petang semalam.

"Jumlah pengunjung meningkat selepas ketibaan kumpulan perarakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee tiba petang semalam dan berlarutan sehingga ke hari ini.

"Jumlah pengunjung dijangka akan terus meningkat sehingga petang esok apabila perarakan pedati keluar untuk pulang semula ke Kuil Sri Maha Mariamman," katanya.

Zainal Mohamed berkata, sambutan Thaipusam di Batu Caves, hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, dengan kawalan sentiasa dipertingkatkan.

Beliau berkata, polis dengan kerjasama agensi keselamatan lain terus bersiap siaga di lokasi untuk mengawal kelancaran pergerakan orang ramai serta lalu lintas.

Bagaimanapun, katanya, ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan di tempat yang tidak sewajarnya sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

"Kita juga menerima rungutan daripada beberapa peniaga yang membuka gerai di sini, dengan tindakan orang ramai meletakkan kenderaan di hadapan gerai mereka hingga mengganggu perniagaan.

"Sejak 2 Januari lalu hingga ke hari ini, kita sudah mengeluarkan 63 saman trafik kepada pemilik kenderaan yang didapati melanggar peraturan lalu lintas di kawasan kuil di Batu Caves ini," katanya.

Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam. - Foto BERNAMA
Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam. - Foto BERNAMA
Berita Harian X